Saturday, November 29, 2008

Cameron Highlands pula dilanda banjir

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my

KUANTAN - Selepas tiga daerah dinaiki bah akibat peningkatan paras air Sungai Pahang, kini Cameron Highlands pula dilanda banjir lumpur disebabkan hujan yang berterusan menuruni bukit.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, kejadian tersebut yang berlaku di Ringlet menuju ke Lipis bagaimanapun tidak membabitkan kerosakan di kawasan pertanian.

"Hujan yang berterusan sejak 25 dan 26 November menyebabkan air melimpah dan menuruni bukit bersama lumpur tetapi tidak menjejaskan kawasan tanaman.

"Kejadian juga tidak menjejaskan kawasan penempatan penduduk di sekitar kaki bukit dan keadaan selamat. Kesan lumpur juga sedang dibersihkan," katanya semasa dihubungi semalam.

Dalam perkembangan yang sama beliau menambah, jumlah mangsa banjir di Lipis, Raub dan Temerloh masih kekal 90 orang membabitkan 19 keluarga dan kini ditempatkan di pusat pemindahan sejak 26 November.

"Semua mangsa hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan disahkan selamat.

"Paras air sekarang masih belum surut dan masih di bawah paras berjaga-jaga seperti kejadian pada hari pertama iaitu antara satu hingga 2.5 meter di setiap penempatan terlibat," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...