Saturday, November 29, 2008

Usul 30% peranan wanita ke kongres PKR

Abdul Rahim Sabri Nov 28, 08 9:33pm

Rata-rata perwakilan Wanita PKR peringkat negeri-negeri menyambut baik ucapan dasar ketua mereka Zuraidah Kamaruddin dalam kongres pergerakan itu, yang menekankan peluang sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita dalam penggubalan dasar kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Penglibatan 30 peratus itu akan menjadi satu usul utama yang diluluskan untuk dibawa ke kongres tahunan kelima PKR selama dua hari yang bermula esok.

Kongres Wanita hari ini yang bertemakan 'Wanita Berdaya Harapan Negara' diadakan di bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan dihadiri lebih 500 orang perwakilan dan pemerhati.

Kira-kira 20 orang perwakilan membahaskan ucapan Zuraida dan usul-usul, hampir keseluruhannya pertama kali hadir di kongres tersebut.

Turut hadir sewaktu ucapan dasar, Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub, ketua penerangannya Tian Chua, ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh dan ahli parlimen PAS bagi Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali.

Perwakilan Sabah membangkitkan isu keselamatan yang menjejaskan kehidupan penduduk negeri itu ekoran kebanjiran pendatang asing.

"Penduduk diancam bahaya dan rasa tidak selamat terutama sekali kepada kanak-kanak dan remaja," katanya, dengan menambah, lebih dua juta pendatang asing berada di negeri tersebut.

Perwakilan itu, menambah penduduk Sabah terdedah kepada jenayah seperti pemerkosaan dan pecah rumah.

Penduduk negeri itu juga terpaksa bersaing dalam bidang perniagaan dengan pendatang asing. "Kita tidak mahu penduduk asal menjadi pelarian dan penduduk asing menjadi penduduk di Sabah," katanya.

Beliau menggesa Wanita PKR merencana satu langkah yang lebih serius untuk menangani masalah tersebut.

Seorang perwakilan Kelantan menyatakan rasa terharunya dengan masalah jenayah di Sabah yang boleh mengancam wanita dan gadis.

Katanya, masalah ini berleluasa disebabkan sikap kerajaan yang tidak menjaga kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa PKR dan Pakatan Rakyat mengubah gaya pentadbiran negeri dengan menjadikan Islam sebagai landasan pentadbiran.

Sewaktu membahaskan ucapan Zuraidah, perwakilan dari Melaka mengupas isu indeks kebebasan media di Malaysia yang semakin merudum berbanding tahun-tahun lepas.

"Akhbar sepatutnya menjadi lidah rakyat bukan menjadi lidah BN," katanya.

Perwakilan Perlis membangkitkan peranan generasi muda membawa perubahan dalam pilihanraya umum lalu walaupun sebahagian mereka seperti pelajar institusi pengajian tinggi menghadapi kekangan Umno.

Beliau menggesa wanita mencontohi rakyat Amerika Syarikat yang mahukan perubahan dengan memilih buat pertama kali calon berkulit hitam, Barack Obama sebagai presiden negara itu.

"Rakyat Amerika mahukan perubahan, kenapa Malaysia tidak mahukan perubahan?" katanya, disambut tepukan gemuruh pemimpin Wanita, perwakilan dan pemerhati.

Exco wanita PKR, Nurin Aina Abdullah mencadangkan agar briged Srikandi PKR diberikan pengiktirafan dalam perlembagaan parti sebagai usaha memartabatkan peranan wanita.

"Briged Srikandi perlu diktiraf (dalam perlembagaan PKR) walaupun dalam klausa yang kecil," katanya.

Sebelum bersurai, para perwakilan dihidangkan dengan tayangan video ucapan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan parti itu sebagai wadah membela rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Zuraida merasmikan blog Wanita PKR.

http://www1.malaysiakini.com/news/93966

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...