Saturday, November 29, 2008

Pemuda: Konsep ketuanan rakyat buat bukan Melayu makin berani...


Muda Mohd Noor Nov 28, 08 5:52pm


Tindak tanduk kumpulan Melayu tertentu yang memperjuangkan konsep kesamarataan dan ketuanan rakyat telah menyebabkan orang bukan Melayu berani mempertikaikan hak dan ketuanan Melayu, kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang mendakwa, kumpulan tersebut memperjuangkan konsep tersebut kerana kepentingan politik mereka.

"Inilah yang menjadi punca orang bukan Melayu berani mempertikaikan ketuanan Melayu. Sebenarnya orang Melayu yang menyebabkan perkara ini berlaku.

"Jadi janganlah mmepertikaikan mengapa orang bukan Melayu berani bersuara sedemikian.

"Kita sendiri yang memberi ruang kepada mereka atas dasar kesamaratan dan ketuanan rakyat,"
katanya.

Syukur berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilaporkan berkata konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah.

'Kepimpinan Melayu'

Bekas timbalan menteri kesihatan itu juga dilaporkan berkata slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

"Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu," katanya dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya semalam.

Chua juga dilaporkan berkata: "Bila kita berkata tolak 'Ketuanan Melayu', kita bukannya mencabar hak-hak istimewa orang Melayu. Ianya terkandung dalam perlembagaan kita dan tiada siapa pun boleh mengenetapikan pada masa ini.

Menurut Chua lagi, begitu juga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan statusnya dilindungi dalam perlembagaan, dan tiada siapa pun yang boleh mengubahnya.

'Jaga keharmonian'


Sementara itu, ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pemimpin bukan Melayu tidak perlu bercakap perkara tersebut jika mereka tidak tahu sejarah negara ini.

Katanya, ketuanan Melayu bukan sejarah tetapi merupakan satu realiti dan oleh kerana itu, semua pihak perlu menerimanya.

"Sepatutnya Dr Chua, sebagai seorang pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN), tidak boleh bercakap begitu kerana memberi kesan kepada hubungan dalam parti komponen itu," katanya.

Sehubungan itu, Musa menasihatkan pemimpin bukan Melayu supaya jangan menimbulkan isu sedemikian rupa.

Katanya, orang Melayu diam bukan bermakna mereka lemah atau takut tetapi sebaliknya untuk menjaga keharmonian kaum.


http://www1.malaysiakini.com/news/93952

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...