Saturday, November 29, 2008

Sindiket penipuan laman sembang internet

PELABUHAN KLANG - Bagi anda yang gemar melayari laman sembang internet lalu berkenalan dengan individu tidak dikenali yang kononya mahu memberi hadiah istimewa kepada anda, jangan cepat terpedaya.

Ini kerana, individu yang dianggap rakan istimewa terutama berlagak dari luar negara mungkin akan menyebabkan anda mengalami kerugian beribu-ribu ringgit apabila anda begitu taksub inginkan hadiah istimewa itu.

Modus operandinya mudah, individu terbabit akan berlakon kononnya telah mengirim hadiah tersebut menerusi pos kepada anda, tetapi ditahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kerana masih belum melunaskan cukai.

Pada masa sama, mangsa akan diarahkan segera memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun individu terbabit untuk mengeluarkan barangan berkenaan.

Ketika mendedahkan kegiatan itu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Ibrahim Jaapar berkata, sindiket antarabangsa tersebut kini semakin giat memperdayakan mangsa sejak sebulan lalu menerusi laman sembang internet.

Jelas beliau, individu terbabit juga didapati menggunakan nama agensinya dengan menyamar sebagai pegawai kastam yang kononnya boleh mengeluarkan barangan yang ditahan.

"Sindiket ini akan membuat panggilan palsu dan berlagak sebagai pegawai kastam dan kemudiannya meminta mangsa bayar cukai menerusi talian terus dengan memberi nombor akaun agar hadiah boleh dituntut di gudang kastam.

"Mangsa yang inginkan barangan itu akan memasukkan wang ke dalam akuan berkenaan, tapi akhirnya mengetahui diri mereka terpedaya apabila hadiah itu sebenarnya palsu setelah hubungi pihak kastam,"
katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mendedahkan kegiatan tersebut selepas majlis sambutan Hari Kualiti dan Integriti KDRM 2008 di Wisma Kastam, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan, pihaknya tidak pernah menyediakan perkhidmatan pembayaran cukai menerusi talian terus sehingga kini, malahan mengadakan jualan lelong menerusi internet.

Sehubungan itu, Ibrahim menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket terbabit membuat laporan polis sekiranya telah menjadi mangsa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...