Wednesday, December 3, 2008
Militan dipercayai ambil kokain
GAMBAR ini menunjukkan seorang militan, Azam yang mendapat rawatan di sebuah hospital di Mumbai.
LONDON - Kumpulan militan yang melancarkan serangan terhadap kepentingan awam di Mumbai Rabu lalu dipercayai mengambil dadah sepanjang tiga hari insiden berdarah berlaku, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam insiden itu, hampir 200 orang terbunuh manakala 300 lagi cedera akibat tembakan rambang 10 militan di Mumbai pada minggu lalu.
Satu sumber polis India berkata, sejumlah ujian yang dilakukan terhadap mayat kumpulan militan itu mendapati kehadiran dadah perangsang.
"Kami mendapati beberapa kesan suntikan mengandungi kesan kokain dan dadah LSD yang ditinggalkan. Ujian dadah turut mendapati kehadiran dadah dalam darah mereka.
"Mereka juga dipercayai mengambil steroid yang jarang diambil kumpulan militan.
"Semua mayat mempunyai bentuk tubuh sasa sekali gus memberi isyarat bahawa mereka menjalani latihan lasak sebelum serangan itu dilancarkan," kata sumber.
Tambahnya, kehadiran dadah perangsang itu menjelaskan mengapa kumpulan militan tersebut mampu bertahan terhadap serangan balas komando selama 50 jam tanpa rehat, tidur atau makan.
Sumber lain menyatakan, seorang anggota militan menyuntik dadah perangsang dengan jumlah yang banyak kerana mahu terus berjuang walaupun dia mengalami kecederaan teruk.
Sejumlah akhbar India kelmarin menyiarkan sekeping gambar satu-satunya suspek militan yang masih hidup di muka hadapan masing-masing.
Gambar militan itu, Azam Amir Kasav, 21, dirakam terbaring dengan mata terbuka.
Tidak ada maklumat mengenai lokasi sebenar Azam dirawat yang kini hidup dengan mesin sokongan hayat.
Laporan awal mendedahkan bahawa Azam ditembak di tangan selepas dia dan seorang lagi anggota militan, Abu Ismail melepaskan tembakan rambang dari sebuah mesingan di terminal kereta api Chhatrapati Shivaji.
Bagaimanapun, sebuah stesen televisyen menunjukkan rakaman bahawa kereta yang dinaiki Azam dilempar sebutir bom ketika dia ditahan di satu sekatan jalan raya.
Rakaman menunjukkan anggota polis menembak sebuah kereta Skoda berwarna putih menyebabkan Abu Ismail terbunuh.
Azam keluar terhuyung-hayang dari kereta itu sebelum dibelasah polis.
Sekumpulan penduduk kemudian turut membelasah Azam.
Drama itu berakhir setelah seorang anggota polis kanan menghentikan kejadian itu.
Terdapat laporan akhbar menyatakan Azam meminta dia diselamatkan ketika dirawat anggota perubatan namun laporan lain menyatakan dia enggan dirawat kerana mahu mati syahid.
Bagaimanapun, Azam sempat memberitahu para penyiasat bahawa serangan itu dirancang dengan teliti sejak enam bulan lalu di sebuah kem di Pakistan.
Azam dipercayai dirawat di sebuah hospital di Mumbai.
Kumpulan 10 militan yang berumur sekitar 20-an itu didakwa daripada kumpulan Lashkar-e-Tayyaba.
Sebanyak sembilan militan dibunuh dalam serangan itu oleh anggota-anggota pasukan keselamatan India.
Sekumpulan ulama Islam di Mumbai kelmarin menyatakan mereka tidak akan menerima sembilan mayat militian itu, kata jurucakapnya, Hanif Nalkhande. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm
No comments:
Post a Comment