Wednesday, December 3, 2008

Tiada kondom, tiada seks


Walaupun menjadi golongan paling bawah dalam struktur sosial di India, namun golongan hijra akan menendang pemandu lori yang tidak mahu menggunakan kondom ketika melanggan mereka.


--------------------------------------------------------------------------------

SAVITHA dilahirkan sebagai lelaki tetapi menjadi seorang gadis pada usia 16 tahun. Sembilan tahun kemudian, beliau menjaja dirinya kepada pemandu-pemandu lori di hentian trak berdebu yang terletak di Bangalore, India.

Sebagai salah satu komuniti hijra iaitu lelaki yang suka berpakaian wanita, transeksual sebelum dan selepas pembedahan dikenali di sini sebagai sida, Savitha telah biasa dengan prejudis dan diskriminasi kerana menduduki tangga terbawah sosial di negara itu.

Namun begitu, beliau dan mereka yang menjual tubuh sepertinya pada harga yang jauh lebih rendah daripada kos sekotak rokok, sedang membantu India menentang penyebaran virus dan penyakit, HIV/Aids.

Walaupun mereka menawarkan khidmat seks pada harga murah dan betapa banyak pelanggan, tetapi jika pelanggan tidak memakai kondom, bermakna tiada seks untuk mereka.

"Sekiranya pemandu lori (pelanggan) tidak mahu memakai kondom dan mereka berkeras dengan kehendak mereka, kami tidak akan melakukannya.

"Sungguhpun kami akan kehilangan seorang pelanggan, tetapi kami dapat menjaga kesihatan kami,"
kata Savitha sambil membetulkan sari berwarna merah jambu yang dipakainya.

Kira-kira 20 minit memandu dari tempat Savitha 'bekerja' iaitu di lebuh raya yang menghubungkan Bangalore dan Pune di barat, Radhamma, seorang lagi transeksual lelaki ke wanita yang telah melakukan pembedahan jantina juga mempunyai peraturan yang sama.

"Kami tidak akan melakukan apa-apa tanpa kondom," kata beliau yang berusia 38 tahun.

Tambahnya: "Sekiranya seorang pemandu atau individu lain yang datang dan mahukan seks tanpa memakai kondom, kami akan menampar dan menghalaunya keluar."

Savitha tinggal bersama tiga lagi individu hijra dalam sebuah hamam atau rumah mandi di Madanayakana Halli yang terletak berhampiran lebuh raya utama, di mana udaranya dipenuhi dengan bau peluh, air kencing, minyak enjin dan asap rokok.

Radhamma menempatkan enam buah hamam di sebelah sebuah stesen petrol di simpang sibuk lebuh raya utama Bangalore ke Pune di Nelamangala.

Kedua-dua tempat itu merupakan lokasi terdesak yang membuatkan pemandu lori terpaksa melakukan seks.

Namun demikian, ketiadaan pendidikan seks formal di sekolah-sekolah dan perbincangan mengenai subjek itu masih dianggap sebagai tabu, tempat-tempat ini merupakan kunci sama ada India akan memenangi atau tewas dalam penentangannya terhadap HIV/Aids.

Kerajaan India menganggarkan antara 2 hingga 3.1 juta penduduk negara itu menghidap HIV/Aids.

Penyebaran penyakit tersebut sebahagiannya berpunca daripada amalan seks yang tidak selamat dalam kalangan 7.7 juta pemandu lori yang mendapat virus itu selepas mengadakan hubungan kelamin dengan pelacur sebelum menyebarkannya kepada isteri atau rakan pemandu mereka.

Hamam yang diduduki Savitha merupakan sebuah teratak berlantaikan batu yang bercahaya suram, di mana tanda-tanda kehidupan yang dapat dilihat ialah kehadiran subang yang diatur rapi di bawah cermin sisi lori yang bertindak sebagai cermin pemerhati, selipar yang ditinggalkan dan baju-baju yang masih tidak dibasuh yang terhimpun di atas sebuah bangku.

Di dinding berwarna merah jambu yang kian terhakis, kelihatan sebuah poster yang menunjukkan wajah tiga orang pemandu lori yang sedang tersenyum.

Dalam bahasa Hindi, poster itu memberitahu agar mereka menjaga badan seperti mana menjaga kenderaan mereka.

Poster itu dikeluarkan oleh Bhoruka Charitable Trust, sebuah organisasi tempatan yang disokong oleh Yayasan Gates yang beroperasi sepanjang jarak 10 kilometer lebuh raya berhampiran dengan tujuan memberitahu pemandu-pemandu lori agar mengamalkan seks yang selamat.

Ia merupakan model untuk kira-kira 15 projek yang telah ditubuhkan di kawasan-kawasan 'panas' lebuh raya di seluruh India, di mana pemandu-pemandu lori mencari seks, alkohol atau kedua-duanya selepas seharian berada dalam keadaan panas dan kotor di jalan yang penuh pencemaran dan berlubang.

Kesemua projek tersebut dipantau oleh Yayasan Perbadanan Pengangkutan India (TCIF), bahagian sosial perniagaan kargo jalan yang utama di India.

Tidak lama lagi Organisasi Kawalan Aids Kebangsaan akan mengendalikan kesemua skim-skim itu.

Menurut TCIF, pemandu-pemandu perjalanan jauh secara purata mempunyai tiga kali ganda kemungkinan untuk mendapat HIV berbanding masyarakat biasa, meningkat kepada enam bagi mereka yang bekerja di jalan-jalan di tenggara India.

Projek ini amat membantu dalam membekalkan kondom, kata Savitam sambil menambah, lebih ramai pemandu kini sedar akan risiko mengalami HIV dan jangkitan penyakit seksual.

"Tetapi masih ramai yang tidak tahu bagaimana memakai kondom. Kami mengajar mereka tentang itu," katanya lagi.

Badan kebajikan itu juga menganjurkan kumpulan-kumpulan perbincangan di pejabat-pejabat syarikat, mengadakan lakonan jalanan harian di hentian-hentian trak dan memasang mesin jualan kondom pada harga hanya 40 sen setiap satu.


PELACUR daripada golongan hijra kini lebih rela kehilangan pelanggan daripada menanggung risiko dijangkiti HIV/Aids.
--------------------------------------------------------------------------------

Ujian HIV disediakan di pusat perubatan badan tersebut yang terletak di lebuh raya terlibat. Pemandu-pemandu lori bukan sahaja berupaya memeriksa diri mereka, tetapi juga memperoleh diskaun untuk preskripsi atau kaunseling di ambulans bergerak milik organisasi tersebut.

Usaha pencegahan itu telah mendapat reaksi positif komuniti rapat pemandu lori yang mengakui bahawa ia telah membantu mereka lebih sedar terhadap kesan sikap berisiko yang diambil.

"Orang ramai kian sedar akan tahap kesihatan mereka disebabkan Aids. Pihak yang memberi dana program-program ini menjalankan tugas yang baik untuk negara ini. Ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," kata Darshan Singh, 40, yang memandu sejauh 2,300 kilometer dari bandar utara Chandigarh ke Bangalore.

Terasing dan dihukum masyarakat, golongan hijra India tidak mempunyai pilihan, selain meminta sedekah atau menjual tubuh mereka untuk hidup. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...