Sunday, May 3, 2009

Remaja didera empat bulan


S. PUSHPARATNAM mencium Ruckshan ketika mereka bertemu di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - "Ketika dikurung selama empat bulan, saya dipukul dengan batang penyapu di kepala serta badan dan dipaksa melakukan kerja rumah seperti melipat baju, membasuh lantai serta pinggan mangkuk.

"Saya fikir saya tidak dapat diselamatkan dan tidak berpeluang untuk berjumpa dengan keluarga saya lagi.''

Demikian cerita Dil Ruckshan, seorang remaja Sri Lanka yang diselamatkan Ahad lalu selepas tindakan pantas polis menyerbu tempatnya dikurung dan didera selama empat bulan oleh seorang wanita. Ruckshan ditahan di sebuah flat di Sentul Pasar di sini.

Ruckshan, 14, dari Colombo, Sri Lanka, sepatutnya tiba di Switzerland empat bulan lalu untuk tinggal bersama ibu dan neneknya di sana tetapi dia dibawa ke negara ini selepas ditipu ejennya.

"Saya naik kapal terbang berseorangan dan sebaik turun, saya ingatkan saya sudah sampai di Switzerland. Saya pelik kerana fizikal penduduknya berlainan dan terus dibawa ke sebuah rumah oleh wanita tersebut.

"Sejak itu, saya dikurung oleh wanita berkenaan dan hanya diberi makan sekali sahaja, itupun sebagai upah saya melakukan kerja rumah,'' katanya yang mendakwa pasportnya turut dikoyakkan oleh wanita yang sama.

Ruckshan menyatakan demikian kepada wartawan pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan MIC di Jalan Rahmat di sini semalam. Turut hadir ialah neneknya, S. Pushparatnam, 52, yang datang dari Switzerland.

Cerita Ruckshan, dia juga dilarang menonton televisyen serta hanya dibenarkan membaca buku.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...