Sunday, May 3, 2009

Usah ambil kesempatan

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan ambil kesempatan,” demikian amaran Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Tan Lian Hoe kepada mana-mana pemborong dan peniaga ayam agar tidak menjadikan isu wabak Influenza A (H1N1) sebagai alasan untuk sesuka hati menaikkan harga ternakan berkenaan.

Katanya, sungguhpun terdapat penurunan terhadap permintaan daging babi sejak berita mengenai wabak berkenaan dilaporkan saluran media, permintaan daging ayam tidak naik mendadak.

“Walaupun sebelum ini ada pihak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga (ayam) kononnya ramai pengguna beralih membeli ayam kerana bimbang dengan wabak itu, sebenarnya permintaan daging ayam tidak naik mendadak menyebabkan kekurangan bekalan.

“Jadi, saya harap tidak ada pembekal atau peniaga cuba memainkan isu ini demi mengaut untung lebih,”
katanya selepas melawat mengejut di Pasar Datuk Keramat dan Pasar Pudu, semalam.

Mengulas lawatannya, Tan berkata, beliau berpuas hati harga ayam dijual dengan harga berpatutan iaitu RM6 sekilogram.

“Bagaimanapun, saya dapati ramai yang tidak meletakkan tanda harga barangan jualan mereka. Saya harap selepas ini semua peniaga meletakkan tanda harga, sekali gus berlaku adil kepada pengguna.

“Kementerian beri peluang peniaga dua bulan untuk letak tanda harga dan sekiranya gagal berbuat demikian pada 1 Julai ini, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan. Peniaga boleh didenda sehingga RM7,500 bagi setiap gerai mengikut Akta Perihal Dagangan 1972,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084045/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...