Sunday, May 3, 2009

Hanya mainan psikologi

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Jangan terpedaya dan terperangkap dengan iklan, pujukan atau kata-kata manis ada pil boleh membuat seseorang itu kuat di ranjang...ia permainan psikologi saja,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, kebanyakan pil rangsangan seks berada di pasaran serta didakwa sebagai ‘ubat kuat’ sebenarnya hanya makanan tambahan dicampurkan bahan kimia termasuk dadah yang merosakkan tubuh badan seperti Deliphinol.

Liow berkata kementerian amat berhati-hati sebelum mengeluarkan kebenaran pemasaran pil rangsangan seks kerana ia memerlukan kajian terlebih dulu di Pusat Kesamaan Biologi (BE Centre).

Setakat ini terdapat tujuh Pusat Kesamaan Biologi di seluruh negara yang menjadi tempat kajian ubat-ubatan yang akan dipasarkan di pasaran tempatan.

“Kementerian mempunyai kaedah pendaftaran perubatan ketat bagi menangani lambakan pil atau ubat-ubatan membahayakan kesihatan termasuk pil seks.

“Malah, jika sesiapa ingin mendapatkan yang sudah diluluskan seperti Viagra digunakan lelaki menghadapi masalah ereksi pun perlu ada preskripsi doktor,” katanya mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai pusat urut menawarkan ‘pil power’ rangsangan seks dipanggil ‘Pil Bollywood’.

Laporan memetik pil rangsangan berkenaan ditawarkan kepada pelanggan lelaki yang teruja selepas dipujuk gadis tukang urut yang mendakwa lelaki boleh menjadi gagah di ranjang selepas makan pil itu.

Kegiatan penyeludupan pil rangsangan seks berkenaan dikesan sepasukan tiga pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan serbuan di sebuah rumah urut di Damansara, di sini.

Mengulas mengenai lambakan ubat seks di pasaran tempatan, Liow berkata ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna kelulusan daftar makanan tambahan KKM dengan melabel produk itu sebagai ubat.

“Ada kes penggredan asal diberikan sebenarnya produk makanan tambahan tapi ditukar ubat. Jika pihak berkenaan didapati melakukan penyelewengan, anggota KKM akan melakukan rampasan atau arahan penutupan kilang dikeluarkan.

“Andai ada maklumat salurkan kepada kementerian dan KKM sendiri akan memperhebatkan operasi membanteras pil seks lebih-lebih lagi membabitkan keselamatan dan nyawa,”
katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kewujudan pusat urut yang terlalu banyak mengundang masalah sosial.

Menurutnya, apa dibimbangkan ialah implikasi buruk kepada institusi kekeluargaan apabila ada di kalangan pengunjung mempunyai anak isteri di rumah.

“Lelaki yang berkeluarga tapi mengunjungi pusat urut yang menawarkan aktiviti tidak bermoral sebenarnya seperti ‘bermain api’.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090502084734/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...