Sunday, May 3, 2009

Enam tahun diganggu 'zombie'


SEBUAH klinik yang dipercayai menjadi tumpuan penagih dadah mendapatkan bekalan methadone di sebuah taman perumahan di Kuantan. Gambar kecil Abd. Mutalib.





KUANTAN - Sejak enam tahun lalu, kira-kira 7,500 penduduk di sebuah taman perumahan di sini sering dibelenggu perasaan tidak tenteram.

Perasaan itu semakin menjadi-jadi terutama setiap Jumaat dan Ahad menyebabkan mereka terpaksa mengutamakan keselamatan di kawasan rumah lebih daripada biasa.

Ini semua gara-gara ramai penagih dadah berkeliaran di kawasan perumahan itu tanpa mengira siang dan malam mencari bekalan methadone atau dadah alternatif dari sebuah klinik swasta berhampiran kawasan perumahan terbabit.

Sejak itu rata-rata penduduk mendakwa, banyak kejadian jenayah berlaku termasuk kecurian dan mereka mendakwa ia ada kaitan dengan penagih dadah yang 'berkampung' di situ setiap hujung minggu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman perumahan itu, Abdullah Mahadi berkata, pihaknya sudah lama bersabar dengan 'gelagat' penagih dadah terbabit yang bertindak sewenang-wenangnya di taman tersebut.

"Daripada pemerhatian yang dilakukan, beratus-ratus penagih dadah dari jauh dan dekat datang ke sini apabila tiba waktu mereka mengambil methadone.

"Sebagai wakil penduduk, apa yang kami risau ialah mereka bukan sekadar mengambil ubat methadone di klinik tersebut tetapi turut membawa bersama masalah lain kepada penghuni," katanya ketika ditemui wartawan Ronda-Ronda semalam.

Menurut Abdullah, antara masalah besar dihadapi oleh mereka ialah penagih dadah terlibat telah menjadikan kawasan itu sebagai tempat mereka berkumpul.

"Apabila sudah berkampung di sini, macam-macam kejadian jenayah terjadi sehingga boleh dikatakan berlaku setiap hari. Banyak harta-benda penduduk dan awam hilang seperti penutup longkang, tong gas, baju dan basikal. Kami percaya, mereka sanggup berbuat demikian untuk membeli methadone bagi melepaskan gian," dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil penduduk, Kamaruddin Ibrahim pula mendakwa penagih terlibat dipercayai turut menjadikan kawasan itu sebagai lokasi mengedar dadah sesama mereka.

"Mereka dipercayai menjadikan kawasan ini sebagai tempat untuk menjual dadah yang dibawa dari luar selain turut melepaskan gian di sini sebelum meninggalkan jarum suntikan merata-rata tempat.

"Kami bimbang jika ada kanak-kanak yang menganggapnya barang permainan bermain dengan peralatan itu walhal ia mungkin membawa penyakit," katanya.

Seorang penduduk, Siti Rona Ismail memberitahu, wanita di kawasan itu kini takut untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta berkenaan kerana sentiasa dipenuhi penagih dadah.

"Bagaimana hendak mendapatkan rawatan jika melihat ramai penagih yang menyerupai 'zombie' atau mayat hidup sering berkunjung ke situ. Bagi kami, klinik tersebut tidak berfungsi lagi kepada penduduk tetapi lebih memberi manfaat kepada penagih," katanya.


ANTARA alat menagih yang ditinggalkan penagih dadah di dalam tandas sebuah dewan orang ramai di Kuantan.


Dalam pada itu, Penyelaras Skim Rondaan Sukarela di taman perumahan itu, Abd. Mutalib Yassim berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada pelbagai pihak tetapi sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil.

"Ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif sendiri pernah menasihatkan pemilik klinik swasta itu supaya berpindah tetapi ia hanya dipandang sepi.

"Kami tidak menghalang klinik itu daripada beroperasi. Bagaimanapun, kami berharap agar premis tersebut dapat dipindahkan ke lokasi lain kerana ia amat mengganggu penduduk," katanya.

Tinjauan Ronda-Ronda di lokasi yang sama mendapati terdapat penagih dadah yang menunggu giliran di luar klinik itu bagi mendapatkan rawatan methadone manakala sesetengahnya berkumpul di beberapa lorong sekitar kawasan perumahan tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan yang sama di dewan orang ramai taman itu pula mendapati terdapat banyak bekas mengisi jarum suntikan kosong dan bekas ubat di bahagian bilik airnya, dipercayai ditinggalkan oleh penagih terbabit selepas melepaskan gian.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi berkata, perkara tersebut akan disiasat selepas pihaknya mendapat laporan.

"Polis akan meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian jenayah," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/cari_tarikh.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...