KUCHING, 15  April: Sarawak tidak akan berubah jika terus berada di bawah  pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) berdasarkan berdasarkan kepada  prestasi lebih 30 tahun BN memerintah negeri terbesar itu selama ini. 
Buktinya, masih terdapat di banyak kawasan, keadaan infrastruktur negeri  itu seperti bentuk kediaman, kemudahan air dan bekalan tenaga elektrik yang jauh  lebih ketinggalan dari negeri Pakatan Rakyat di Semenanjung.
(Gambar: Rakyat Sarawak sudah tidak sabar untuk  melakukan revolusi politik menerusi pilihan raya esok  hari)
Dalam satu jawapan menerusi satu siaran radio yang  dikemukakan oleh seorang pengulas penyokong kerajaan, Datuk Seri Zaini Ujang  yang juga bekas Pengerusi Bernama, beliau berkata, kegagalan membangunkan negeri  Sarawak selama 30 tahun ini disebabkan faktor geografi negeri itu.
Beliau  menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang pemanggil yang menyatakan 'tidak  cukup lagikah peluang 30 tahun diberikan kepada BN untuk melakukan pembangunan  berterusan, berapa peratus yang sudah berjaya dan perlu berapa ratus tahun  lagi?
Soalan ini tidak dijawab dengan sepenuhnya termasuk tidak  menyebutkan langsung peratus kejayaan seperti diminta oleh pemanggil dan tidak  dijawab berapa ratus tahun diperlukan BN untuk membangunkan Sarawak. 
Menurut Zaini, tidak dapat dinafikan terdapat kawasan-kawasan yang jauh  dari bandar dan pedalaman yang masih tidak mempunyai aliran tenaga elektrik dan  bekalan air bersih.
"Semuanya ini adalah disebabkan faktor geografi  Sarawak," jelasnya sedikit tergagap.
Katanya, kerajaan negeri lebih  memberi keutamaan kepada mereka yang dekat dengan bandar berbanding yang hanya  50 keluarga tetapi terletak jauh di pedalaman atau dari bandar.
Berbalik  kepada keadaan sebenar di Miri, sebagai contoh. Dalam kedudukan 10km sahaja dari  Bandaraya Miri, terdapat banyak kampung yang boleh disenaraikan tidak mempunyai  kemudahan tenaga elektrik dan aliran air bersih secara meter  persendirian.
Persoalannya, jika masalah geografi menjadi punca utama  tidak sampainya dua bekalan utama itu kepada rakyat, bagaimana dengan jarak  sejauh 10km itu? Ataupun segala hasil mahsul Negeri Sarawak dibolot oleh kroni  Ketua Menteri dan pemimpin BN menyebabkan negeri tidak dapat memberikan manfaat  sama kepada rakyat jelata.
Ribuan penduduk dan rakyat Sarawak yang  memiliki kad pengenalan sah yang tinggal berpuluh tahun di Kampung Pasir,  Kampung Api Api, Kampung Batu Satu Jalan Lutong - Batu Baram, Kampung Muhibbah,  Kampung Masjid Kuala Baram, sebagai contoh.
Perkampungan mereka ini  terletak di pinggir Bandaraya Miri. Bukan jauh di pedalaman. Tidak timbul  langsung masalah geografi. Ada yang menitiskan air mata derita bila menceritakan  hal kehidupan mereka dan bertanya; kenapa boleh jadi begini ke atas  mereka?
Sebab itu, tidak tahan dengan duka nestapa yang selama ini  disembunyikan di lipatan paling bawah dalam hati setiap penduduk, namun dalam  pilihan raya ke 10 16 April (esok), mereka sudah tidak boleh  sabar.
Revolusi politik tetap akan mereka lakukan. Mereka berazam tidak  akan memberikan lagi undi keemasan mereka selama ini kepada pemimpin yang sejak  sekian lama tidak mengutamakan rakyat di dalam perkiraan politik mereka lebih  dari 30 tahun berlalu.
Zaini juga berkata, jika sesuatu projek  pembangunan di Semenanjung boleh dilakukan dalam beberap juta tetapi kerana  faktor geografi, pengangkutan dan sebagainya, menjadikan projek yang sama tidak  boleh dibuat di Sarawak.
Begitulah mentaliti pemimpin BN memerintah  Sarawak khususnya. Lebih 30 tahun pembanngunan negeri tidak mampu dilakukan  semata-mata kerana jumlah keluasan negeri itu, Dun Belaga sebesar Negeri Pahang,  menjadikan sampai bila-bila pun Sarawak tidak akan maju.
Rakyat yang  ditemui berkata, jika selama ini mereka memberi peluang kepada BN dalam beberapa  kali pilihan raya, kini sudah sampai masanya, mereka memberi peluang pula kepada  Pakatan Rakyat untuk memimpin Negeri Sarawak atau paling kurang, menafikan  penguasaan 2/3 BN.
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2824:30-tahun-bukti-sarawak-tidak-maju-bersama-bn&catid=34:primary&Itemid=56
 
 
No comments:
Post a Comment