Kebangkitan hebat rakyat Sarawak menjelang Pilihan raya Negeri ke 10 (PRN10)  esok hari (16 April) bakal diterjemahkan ke peti undi bagi memastikan berlakunya  perubahan drastik pada lanskap politik di negeri terbesar Malaysia  itu.
Secara umumnya, rakyat Sarawak telah lama menyimpan perasaan  membuak-buak untuk membuat perubahan cuma mereka dihalang oleh rasa takut dalam  diri.
Namun kedatangan genderang gemuruh tsunami politik yang dibawa dari  Semenanjung diikuti berlakunya kejatuhan pemimpin luar negara yang lama  memerintah, memberikan tambahan semangat berani kepada rakyat negeri  itu.Mereka telah lama  menderita. Hidup rakyat pertengahan dalam kesusahan. Apatah lagi mereka yang  marhaen; kais pagi dan petang terus sahaja habis tiada berbaki  lagi.
Menziarahi kampung-kampung dhaif yang hanya berjarak 10km sahaja  dari Bandaraya Miri memang menggamit rasa kasihan pada mereka lantaran dibiarkan  begitu sahaja oleh pemimpin kaya raya ke sana sini dengan helikopter diapit ratu  muda bergaya.
(Gambar: Janggut [kiri] menunjukkan masalah  bekalan air di mana satu meter terpaksa dikongsi dengan 12 keluarga  lain)
Kampung-kampung yang gelap gelita, nampak dari jauh  seperti didirikan atas air yang sebenarnya berpunca dari air bertakung  disebabkan tiada sistem perparitan sempurna.
Ke mana air hendak mengalir  pergi jika tiada laluannya menyebabkan warnanya bertukar menjadi hitam pekat.  Penduduk bimbang dengan wabak denggi berpunca dari serangan ganas nyamuk  aedes.
Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas di Kampung Batu Satu Jalan  Lutong - Kuala Baram, Kampung Api Api, Kampung Pasir, Kampung Muhibbah dan  sebagainya lagi.
Siapa dapat bayangkan mereka hidup dalam keadaan tiada  bekalan elektrik di masa pemimpin kerajaan menyeru setiap rumah mesti mempunyai  komputer.
Bagi mengatasi masalah itu, penduduk terpaksa membeli generator  sendiri dengan harga melebihi RM2 ribu dengan kos minyak disel melebihi RM5 satu  malam jika digunakan dari 7 hingga 11 malam.
Suasana di sebelah malam di  sini tidak ubah seperti mereka semua tinggal berhampiran dengan kawasan industri  besar sementelahan bunyi generator dari semua rumah bersipongang ke udara secara  serentak.
Sadisnya. Untuk rekod, mereka sudah meneroka, mendirikan rumah  sendiri dan mendiami kawasan itu lebih dua puluh tahun. Sedih hati mereka bila  diberitahu terpaksa keluar dari kawasan itu menjelang 2015.
Pak Janggut  atau nama sebenar Haling Anak Bagak, 41, sekeluarga yang lebih 20 tahun tinggal  di Kampung Pasir berkata, "kami tidak mahu pindah-pindah lagi, ini tanah  kami."
Tegasnya, berikan kami geran sah, semua masalah akan  selesai.
Rupanya bukan isu bekalan tenaga elektrik sahaja membelenggui  mereka selama ini. Masalah air bersih juga bersarang kecewa di hati  mereka.
Sebagai gambaran ringkas, satu meter terpaksa dikongsi dengan  sebelas kediaman lain. Satu bulan secara puratanya setiap rumah terpaksa  membayar lebih RM40.
Bayangkan berapa jumlah bayaran untuk satu meter  setiap bulan. Keadaan lebih rumit bila ada yang 'sangkut' tidak dapat jelas satu  hingga tiga bulan. Akibatnya bekalan air ke semua kediaman terpaksa dipotong.  Untuk mendapatkan semula meter, setiap rumah dikenakan denda sebanyak RM100  pula.
Persoalannya sampai bila mereka perlu hidup dalam keadaan begini  dalam sebuah negeri kaya?
Jika kita  tinjau harga barang pula, ada keperluan yang empat kali ganda dari Semenanjung.  Jika tidak pun, ia mesti lebih mahal sekali ganda.
Semua harga ini  terpaksa dibayar oleh rakyat Sarawak. Orang kaya memang tidak terasa apa-apa,  namun bagaimana dengan orang biasa dan marhaen yang terpaksa membayar sama  seperti harga orang berwang juga. Tiada kekecualian apa-apa.
Rakyat  kebanyakannya tahu tentang kekuatan ekonomi negeri bersumberkan minyak, gas dan  sumber hutan serta sebagainya.
(Gambar: Semua hadirin mengangkat tangan secara serentak bersetuju untuk membuat perubahan dalam pilihan raya esok hari.)
Hasil dari maklumat yang meniti dari bibir ke bibir, mereka juga tahu dan  adakalanya lebih tahu, ke mana wang negeri itu berlegar dan hilang pergi entah  ke mana.
Rakyat sudah sedar. Mereka mendapat maklumat sah dari banyak  sumber. Generasi muda banyak memberikan informasi. Hasilnya kini, bila semua  sudah sedar dan meninggi, timbul semangat berani yang tidak dapat dibendung  lagi.
Rasanya tiada siapa lagi yang boleh menyekat mereka dari membuat  perubahan secara revolusi menerusi peti undi bermula esok  pagi.
Kesempatan penulis membuat tinjauan selama seminggu di Miri,  baru-baru ini mengesahkan dengan pandangan mata kepala sendiri bagaimana  hebatnya sesuatu kebangkitan bila ia berlaku.
Suasana dan jumlah  kehadiran serta pungutan dana menerusi jualan dan derma dalam himpunan Pakatan  Rakyat tidak dapat dicabar oleh BN.
Medan utama di pekarangan Klinik Dr  Teo Yu Keng yang merupakan calon Keadilan untuk Dun Senadin di tengah Bandaraya  Miri membimbangkan musuh.
Himpunan reformasi rakyat untuk buat perubahan  dianggarkan sekitar 30 ribu dengan jumlah derma satu malam sahaja RM21  ribu.
Satu malam dalam satu himpunan sama, semua hadirin mengangkat  tangan secara serentak (gambar) bersetuju untuk membuat perubahan dalam pilihan  raya esok hari.
Berbanding dengan program jamuan makan malam anjuran  calon BN dari SUPP yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dan penyandang dua  jawatan Exco Negeri Sarawak, sungguh malang tidak sampai 50 hingga 80 hadirin  yang sanggup datang, itu pun dengan kenderaan percuma.
BN di banyak  tempat membuat ceramah di hadapan kedai makan dengan mengambil kesempatan masa  dan peluang ketika beberapa orang itu makan.
Mereka datang ke restoren itu  bukan bertujuan untuk mendengar Koh Tsu Koon yang kerananya BN hilang negeri di  Pulau Pinang; apa yang mahu diajarnya pada pengundi Miri untuk pertahankan  Sarawak?
Satu ketika, Tsu Koon membelakangkan jalan utama kerana tiada  orang di hadapannya sebaliknya hadirin leka makan-makan di meja dalam restoren  tanpa peduli pun apa celotehnya.
Dalam satu ceramah bersama Dr Teo dan  Presiden Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor (MBSC), Khairul Anuar Othman,  penulis sempat bandingkan keadaan dan suasana Sarawak 40 tahun di bawah BN  dengan Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah di bawah PR.
"Bukti ada  di depan mata kita, lihatlah beza bentuk pentadbiran antara bobroknya BN dan  berkesannya PR dalam masa tiga tahun buktikan kemampuan mereka.
"Jika  rakyat Sarawak boleh bersabar lebih 40 tahun dengan keadaan begini, kenapa tidak  boleh beri peluang selama empat tahun untuk PR tunjukkan bentuk pemerintahan  Kerajaan Sarawak Baharu?
"PR tidak bercakap kosong kerana mereka telah  dapat buktikan kemampuan mereka di empat negeri Semenanjung: di Selangor, air  percuma 20 meter padu pertama, ada skim warga emas, anak baharu lahir dan anak  masuk universiti di samping jumlah pelaburan tetap antara tertinggi di  Malaysia," hadirin memberikan perhatian mereka.
Peringatan untuk rakyat  Sarawak, inilah masa dan peluang terbaik untuk mereka bersama mencipta sejarah  baharu Negeri Sarawak. Jika tidak, mereka terpaksa menunggu lagi sehingga empat  akan datang atau tidak akan berubah selama-lamanya.
Namun dalam keadaan  sekarang, kebangkitan rakyat Sarawak mengatasi segala-galanya; mereka akan  buktikan esok jatuhnya regim BN dan bentuk Kerajaan Baharu Pakatan Rakyat atau  paling tidak menafikan 2/3 penguasaan BN selama ini.
Ingatlah, dunia dan  Sarawak tidak akan KIAMAT semata-mata jatuhnya BN di negeri itu esok, cuma yang  bezanya adalah teraju pentadbiran negeri yang bakal dipimpin oleh Pakatan  Rakyat.
-----------------------------------------------------------
Ismail Hashim adalah wartawan Harakahdaily yang membuat liputan politik Sarawak. Beliau berada di Miri selama lima hari bermula hari penamaan calon PRN Sarawak.
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2815:ismail-hashim-rakyat-sarawak-bangkit&catid=91:pendapat-dan-analisis&Itemid=72
 
 
No comments:
Post a Comment