Mulanya, tidak ramai yang meletakkan harapan bahawa  perubahan besar bakal berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak. Tumpuan hanya  difokuskan kepada beberapa kerusi majoriti pengundi Cina. Masyarakat  Melayu-Melanau dan Dayak dianggap sukar untuk mencetuskan reformasi, apatah lagi  tsunami politik.
Bumi Kenyalang ini masih dianggap "simpanan tetap" yang  selamat buat BN mempertahankan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.  Isu lebih terpusat kepada personaliti Ketua Menteri, Taib Mahmud, yang sudah 30  tahun bertakhta, dengan kisah menarik tentang kekayaan luar biasa kaum keluarga  dan suku-sakatnya. Turut dibicarakan  adalah penindasan berlarutan dalam isu tanah hak adat Bumiputera (NCR), selain  persoalan khazanah negeri yang kaya-raya tetapi tidak mampu menyelesaikan  tuntutan mendesak mengenai kemudahan asas dan kemiskinan yang membelit majoriti  rakyat Sarawak.  Elit penguasa sesuka hati membolot hasil buminya, manakala  rakyat, khususnya Orang Asal terus merempat. Pembalakan memusnahkan kampung  halaman mereka. Cukup menyedihkan.
Itu suasana sebelum hari penamaan  calon, ketika kempen secara rasmi tidak dibenarkan lagi. Bukan sahaja BN  dijangka menang mudah, malah tidak sukar untuk mempertahankan majoriti dua  pertiga dan meneruskan "kerja zalim" mereka. Untuk memperolehi 24 kerusi pun,  bagi menafikan kemenangan selesa BN, Pakatan Rakyat tidak diberikan harapan  tinggi.
Selepas lima hari berkempen, tiba-tiba realiti di Sarawak seperti  memberikan harapan baru yang lebih segar. Arus perubahan bukan sekitar  masyarakat Tionghua.  Perdana Menteri, Najib Razak dilaporkan terpaksa bekejar  ke Kuching, menyelamatkan BN yang kian goyah, dengan berkempen di sana sehingga  hari mengundi. Selalunya hanya Timbalan Perdana Menteri yang berkampung dan  mengetuai kempen.
Najib sebenarnya sudah melanggar tradisi apabila turut  berkempen dalam pilihan raya kecil Sibu, Mei 2010. Hasilnya, DAP mencipta  kejutan. BN terduduk kalah. Sejak pilihan raya negeri 2006, protes pengundi  Cina  tidak dapat disembunyikan lagi. Ia kemudiannya berjangkit ke Semenanjung  dalam PRU12, Mac 2008. Tidak dipastikan apakah Najib mampu mempertahankan  kedudukan BN atau menambah-parahkan lagi keadaan.
Antara tugas penting  Najib menjelang hari mengundi adalah untuk meyakinkan pengundi Sarawak bahawa  Taib memang akan benar-benar berhenti selepas pilihan raya ini. Jaminan itu  bagaimanapun disambut dingin, apatah semasa dilafazkan Taib tidak kelihatan pun  di sebelah Taib.  Pada November 1995, Taib mengumumkan akan berundur dalam masa  lima tahun, tetapi sehingga 2011, iaitu 16 tahun selepas itu, beliau masih  berkuku, ceria dan gagah di samping isteri mudanya. 
(Dalam tulisannya,  pensyarah kanan Unimas, Dr Awang Azman Awang Pawi menukilkan: "Pada suatu majlis  rasmi parti, beliau (Taib) memakai baju batik yang lengan bajunya disingsing ke  siku, bingkas bangun dan bergerak laju ke rostrum dengan penuh semangat. Dari  tempat duduk di barisan bawah menuju ke pentas, beliau seakan-akan melompat.  Khalayak dari luar Sarawak khususnya dari media Semenanjung Malaysia agak  terkejut dengan kelincahannya.").
Menerusi gambar yang disiarkan Utusan  Malaysia, Isnin lalu, semasa Najib berkempen di Stadium MBKS, Kuching, sambutan  nampak cukup tidak menggalakkan. Banyak kerusi kosong. Pesertanya pula kelihatan  memakai t-shirt yang sama, menandakan mereka bukannya "rakyat jelata" tetapi  "penganjur bersama".
Esoknya, dalam program konsert 1Malaysia, di Padang  Merdeka, Taib menegaskan hanya akan berundur dalam masa "beberapa tahun lagi".  Menarik juga jika mahu dianalisis berapa lama sebenarnya tempoh "beberapa tahun  lagi" itu, dalam kiraan Taib? Apatah lagi tahap kesihatan dan kecergasannya,  terutama selepas beristeri muda, begitu menakjubkan!
Fokus utama Najib  bukan sekadar Sarawak tetapi jauh menjangkaui impak buruk buat BN jika Pakatan  sekali lagi mencipta kejutan. Kalaupun tsunami belum mampu membadai pantai  Sarawak pada 16 April nanti,  namun apa jua momentum yang dihasilkan Pakatan  nanti dijangka berupaya membangkitkan semangat baru rakyat Malaysia untuk  mempercayai bahawa mereka boleh melakukan perubahan besar dalam  PRU13.
Najib pastinya sudah bertungkus-lumus untuk mematahkan keyakinan  rakyat yang cukup berbahaya itu. Segalanya telah diperkakaskan untuk menimbus  segala momentum PRU12; soalnya, apakah Najib akan melihat begitu saja Taib bakal  menjadikan beliau sebagai perdana menteri terakhir daripada BN?
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2777:taib-bakal-sempurnakan-igauan-buruk-najib&catid=60:editor-harakah&Itemid=301
 
 
No comments:
Post a Comment