Barisan Nasional (BN) Sarawak buat pertama kalinya dalam sejarah politik  negeri bumi kenyalang itu menghadapi ujian pahit dan getir dalam pilihanraya  Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-10 yang pengundiannyanya diadakan pada 16  April selepas penamaan calon pada 6 April lalu.
Kempen selama 10 hari  telah pun berakhir dan proses undi pos terdiri dari beribu-ribu pengundi anggota  angkatan tentera dan pasukan keselamatan termasuk isteri dan keluarga mereka  yang bermula dua hari sebelum pengundian sebenar telahpun  berakhir.
Pelbagai jangkaan dan ramalan yang dibuat oleh para  penganalisis politik dan para pemerhati politik dalam dan luar negara terhadap  kemungkinan keputusan pilihanraya Dun Sarawak kali ini. Ada yang meramalkan BN  tidak akan lagi menikmati majoriti dua pertiga dan hanya mampu memenangi  majoriti kecil untuk menubuhkan kerajaan.Ada pula  yang lebih extreme beranggapan bahawa regim Taib Mahmud yang memerintah Sarawak  selama 30 tahun menyamai pemerintahan regim Hosni Mubarak di Mesir dan  regim-regim lain di Timur Tengah akan berakhir dalam pilihanraya ini.
Apa  pun keputusan pengundi berdaftar yang berjumlah hampir satu juta orang itu yang  terdiri dari pelbagai etnik, bumiputra Islam dan yang bukan Islam, pengundi kaum  Cina, Dayak, Iban dan lain-lain, akan menentukan lanskap politik masa depan  Sarawak khususnya dan Malaysia amnya. Indikasi perkembangan politik Sarawak dari  keputusan pilihanraya negeri akan mencernakan lanskap politik Malaysia, walaupun  tidak keseluruhannya, yang akan mengadakan pilihanraya parlimen selewat-lewatnya  pada 2013.
Jika BN mampu mempertahankan regim negerinya dengan kemenangan  majoriti dua pertiga, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan diarahkan untuk  mengadakan pilihanraya dengan lebih segera bagi mengekalkan momentum kemenangan  yang diraih, tetapi jika BN kecundang untuk meraih majoriti dua pertiga,  pilihanraya akan dilengahkan sehingga tamat tempoh mandat lima tahun, dari  pilihanraya lalu pada 2008.
Tekanan terhadap BN dalam pilihanraya ini  begitu hebat dan teruja sekali. Ia dapat dilihat buat pertama kalinya tiada  calon-calon BN terdiri dari calon Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB),  calon-calon SUPP (Cina) dan calon-calon parti etnik kaum lain yang bergabung  dalam BN, tiada saorang pun yang menang tanpa bertanding.
Sudah berlalu  masa calon-calon BN menang tanpa bertanding yang menjadi trend  pilihanraya-pilihanraya Sarawak di masa lalu. Kali ini BN ditentang sama ada  satu lawan satu, atau tiga penjuru atau lebih kerana penyertaan calon-calon  bebas dalam pilihanraya Dun Sarawak. Sebenarnya calon-calon bebas tidak memberi  sebarang impak kecuali satu dua kerusi, kerana ada di kalangan calon yang  merupakan bekas anggota Dun Sarawak.
Pertembungan satu lawan satu adalah  antara calon-calon BN dengan calon Pakatan Rakyat terdiri dari PAS, PKR dan DAP.  Dalam pertandingan tiga penjuru pula berlaku pertandingan antara calon BN dengan  calon Pakatan dari komponan PKR dan SNAP, sebuah parti tertua di Sarawak yang  tidak dapat berkompromi dengan PKR dalam pembahagian kerusi yang  dipertandingkan. PKR bertanding dikebanyakan kerusi di Dun Sarawak. PAS  bertanding lima kerusi dan DAP bertanding 15 kerusi. Selebihnya ditandingi oleh  PKR walaupun tidak sepenuhnya dalam pertandingan 71 kerusi Dun  Sarawak.
PKR dan SNAP tidak dapat bertolak ansur dalam beberapa kawasan  petandingan pilihanraya dan kerana itu pertandingan menjadi tiga penjuru. SNAP  bertanding lebih dari 20 kerusi di kawasan-kawasan yang dikatakan majoriti  pengundi berketurunan Dayak dan Iban yang menjadi pusat pengekalan kekuatan SNAP  yang pernah memerintah Sarawak diawal penyertaan Sarawak dalam gagasan Malaysia. 
Ketua Menteri Sarawak yang pertama ialah dari SNAP, Stephen Kalong  Ningkan sebelum diambil alih oleh Penghulu Tawi Sli, dalam krisis politik  Sarawak yang pertama di zaman Perdana Menteri (PM), Tunku Abdul  Rahman.
Selepas Penghulu Tawi Sli barulah Sarawak diteraju oleh Ketua  Menteri berketerunan Melayu-Melanau beragama Islam, Tun Abdul Rahman Ya’kub yang  memimpin Sarawak selama satu dekad (sepuluh tahun). Pada masa pemerintahannyalah  kedudukan politik bumiputra Sarawak diperteguhkan apabila berlaku penyatuan  gabungan parti-parti di kalangan bumiputra Sarawak yang beragama Islam dan  bumiputra yang bukan Islam.Pengenalan politik  Sarawak tidak dapat dipisahkan dari pengenalan etnik, kaum dan agama. Tetapi  Sarawak telah melalui perubahan secara evolusi dan kerana itulah PAS kini mampu  bertanding di Dun Sarawak. Kemampuan PAS bertanding merupakan satu perubahan  keyakinan kepada politik Islam yang dibawa PAS di tengah-tengah masyarakat  plural Sarawak yang pluralismenya melebehi pluralisme masyarakat majmuk di  Semenanjung.
PAS tidak mungkin akan memenangi kelima-lima kerusi yang  dipertandingkan dan parti-parti lain juga baik dikalangan Pakatan Rakyat dan  komponan BN Sarawak tidak mungkin juga akan memenangi kesemua kerusi yang mereka  tandingi. PAS dijangka mampu memenangi satu dua kerusi yang dipertandingkan atau  sekurang-kurangnya akan mengurangkan majoriti calon BN yang menang di kawasan  yang ditandingi PAS.
Jika demikian hakikatnya, maka ia membawa petanda  bahawa PAS telah mulai diterima oleh rakyat Sarawak. Jika PAS kalah pun PAS  telah membuka dan meluaskan arena politik Islamnya. Kesempatan PAS untuk  berpolitik sambil berdakwah merupakan satu anugerah Allah yang besar yang perlu  digunakan ruang dan peluang dengan sepenuhnya. Ia juga bererti PAS telah berada  di bumi kenyalang, yang Umno masih tidak mampu memasukinya dan hanya  mengharapkan PBB sebagai proxy Umno di Sarawak.
Pertanding satu lawan  satu akan menyaksikan pertandingan hebat dan genting tetapi pertandingan tiga  penjuru akan memberI miliege kepada calon BN. Sayang sekali SNAP tidak dapat  bersama dengan Pakatan Rakyat. Dalam pertandingan pelbagai penjuru juga ia akan  memberi keuntungan kepada BN.
Perdana Menteri (PM) Najib Tun Razak agak  yakin dengan kemungkinan BN akan menguasai Dun Sarawak dan begitu juga Ketua  Menteri (KM) Taib Mahmud, tetapi jika hendak berlaku tsunami politik di Sarawak  seperti tsunami 2008 di Semenanjung, tiada sesiapa yang dapat menahannya.  Kemungkinan rakyat Sarawak sudah bosan dengan pemerintahan BN di Sarawak yang  berKMkan Taib Mahmud, selama 30 tahun, satu era pemerintahan yang terlalu lama.  Taib dijangka akan berundur selepas pilihanraya setelah penggantinya dapat  dicari. Taib tidak akan menghabiskan penggal ini.
Bagaimana pun keputusan  pilihanraya bergantung bukan kepada satu dua faktor. Ia mencakupi pelbagai  faktor dan faktor-faktor inilah yang sedang diperkecilkan oleh parti pemerintah  bagi menjamin kemenangan mereka berterusan.
Sesuatu yang sangat jelas  bahawa pilihanraya yang diadakan tidak berada di landasan yang benar-benar  demokratik, apabila kerajaan menggunakan seluruh jenteranya di peringkat negeri  dan pusat untuk membeli undi rakyat. Pengundi dibeli dengan projek-projek segera  yang berjumlah berjuta-juta ringgit.
Pertandingan tidak berada di padang  permainan samarata, Pakatan Rakyat terutama PAS, mana mampu menghadapi  perbendaharaan negeri dan pusat yang menabur wang dengan pelbagai projek untuk  membeli undi. Rakyat Sarawak yang rata-rata masih dalam kolompak kemiskinan,  walaupun negeri mempunyai hasil perkayuan dan petrolium. Dalam persekitaran  masyarakat yang dibelenggui kemiskinan amat mudah untuk mempengaruhi rakyat  untuk memberi sokongan kepada mereka dengan mengadakan projek-projek prasarana  dan kemudahan.
Di kalangan Pakatan Rakyat, DAP dijangka akan membuat  kehadiran-nya dirasakan kerana pengundi-pengundi Cina mempunyai pemikiran  terbuka. DAP bertanding di kawasan-kawasan bandar dan pekan melawan calon SUPP.  Calun-calun PKR dari kalangan etnik Cina dan lain-lain dijangka juga akan  membuatkan kehadirannya. Di kawasan-kawasan pertandingan dengan PBB, tidaklah  mudah bagi calon PKR untuk membuat kehadirannya dirasakan, tetapi pertandingan  tetap sengit dan mencabar.
Sedikit lagi advantage bagi calon-calon BN  bahawa mereka berkempen atas dasar bahawa parti-parti mereka adalah parti-parti  yang berasal dari bumi kenyalang tidak seperti parti-parti dari Pakatan Rakyat  kononnya semuanya datang dari Persekutuan. Tetapi hakikatnya, calon-calon yang  bertanding semuanya adalah calon-calon tempatan.
Jika DAP dan calon PKR  dari kalangan kaum Cina membuat kehadirannya maka kedudukan SUPP sangat genting  dan berkemungkinan SUPP akan mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya ini.  Kehadiran SNAP juga tidak dapat diperlekehkan kerana SNAP berupaya dan mampu  menerokai kemenangan yang akan menjadikan politik tawar menawar di Sarawak  selepas pilihanraya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2812:menunggu-keputusan-prn-sarawak&catid=91:pendapat-dan-analisis&Itemid=72
 
 
No comments:
Post a Comment