“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.
Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.
Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan  pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.
“PUM  meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan  kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan  dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan  umat.
“Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan  membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.
Sheikh Abdul  Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes  Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.
Lakaran pertama mengambarkan seorang  gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk  rakaman video telefon tetapi ditolak oleh "tok penghulu" kerana tidak mempunyai  empat saksi.
Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.
Dia hanya Besi
Dialognya berbunyi  “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”
Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”
Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan  cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama  itu.
“PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak  konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam  sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang  berpengetahuan agama,” katanya.
Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar milik Umno itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.
"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak  lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling  menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin  dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Ruangan kartun itu, kata Aizat  jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes  zina.
"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam  dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang  tidak fasiq."
Begitu jahil
Katanya, dialog kartun yang  cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan  mempersendakan hukum Islam.
“Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa  empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh  dijadikan sebagai bukti. 
“Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa  golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata  Aizat.
Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan  hukum Islam yang datangnya dari Allah.
"Ia dipercayai berkaitan tentang  isu video seks dan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang menjadi bahan utama  (persendaan) akhbar itu," katanya.
Menurut Aizat, Utusan perlu  meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya  akan merugikan umat Islam.
"Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam,  janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan  kejahilan sendiri." katanya.
http://malaysiakini.com/news/167035
 
 
No comments:
Post a Comment