Pengarah Penilai Hartanah di syarikat perunding aset antarabangsa, Henry Butcher Malaysia, Long Tian Chek, 54, berkata nilai pasaran berkenaan dibuatnya berdasarkan kepada laporan penilaian yang dibuat satu lagi firma penilaian, Rahim & Co, yang dibekalkan kepadanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009.
"Saya diminta untuk berbuat demikian pada sekitar 31 Julai 2009 dan permintaan melibatkan penilaian nilai hartanah pada tarikh 14 Mei 2007," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.
Long, yang juga saksi pendakwaan kelapan, memberi keterangan pada hari elima perbicaraan kes terhadap Dr Mohamad Khir yang didakwa mengikut Seksyen 65 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah echik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang erletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni.
Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007.
Menjawab soalan Mohd Dusuki, Long memberitahu nilai RM5.5 juta itu diperolehnya menerusi kaedah perbandingan iaitu dengan mengambil kira contoh empat lot banglo di Seksyen 7 termasuk tiga yang dijual pada tahun 2007.
"Kami menggunakan empat perbandingan lot banglo kosong yang semuanya berada di Seksyen 7. Tiga daripadanya (yang dijual pada 2007) dan satu (yang dijual pada) 2009," katanya.
Long memberitahu mahkamah, beliau juga menggunakan maklumat perbandingan berdasarkan laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 2007.
"Lot tanah dinilaikan sebagai RM2.35 juta dan bangunan dinilaikan pada RM3.2  juta. Jumlah keseluruhan nilai pasaran adalah RM5.55 juta,"  katanya.
Terdahulu, seorang penolong pegawai penilaian memberitahu bahawa  Dr Mohamad Khir membeli dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L  di Seksyen 7 di Shah Alam daripada Shamsuddin pada harga RM3.5 juta berbanding  harga yang dinilai olehnya iaitu RM4.8 juta.
Noor Faiza Zainuddin, 48,  yang bertugas di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Shah Alam berkata  lot 8 yang mempunyai sebuah banglo dinilai pada harga RM3.9 juta manakala tanah  kosong di lot 10 dinilai pada harga RM918,000.
"Lot 8 yang mempunyai  sebuah rumah ditaksirkan bernilai RM3.9 juta tetapi dijual kepada Dr Khir pada  harga RM2.9 juta. Lot 10 yang kosong ditaksirkan berharga RM918,000 tetapi  dijual pada harga RM600,000 dalam urusniaga berkenaan.
Noor Faiza  bertanggungjawab bagi menentukan nilai kedua-dua plot tanah berkenaan pada  urusniaga yang dijalankan pada 2007 itu.
Katanya beliau pernah menanyakan  kepada pemilik tanah berkenaan (Shamsuddin) mengapa harga jualan sebegitu rendah  ketika beliau melawat hartanah itu.
"Dia (Shamsuddin) bagi tahu saya dia  ada masalah dan (terpaksa) jual tanah di bawah nilai harga pasaran," katanya  ketika disoal oleh Mohd Dusuki.
Semalam, Shamsuddin pada keterangannya  berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menjual dua lot tanah  termasuk sebuah rumah banglo di Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam pada harga RM3.5  juta kepada Dr Mohamad Khir pada 2007 sebab khuatir dengan kedudukan projek  perumahannya di Selangor.
Dr Mohamad Khir diwakili peguam Adzly Abd Manas  dan Kamarul Hisham Kamaruddin.
Perbicaraan di hadapan hakim Mohtaruddin  Baki bersambung esok.
- Bernama
http://malaysiakini.com/news/166943
 
 
No comments:
Post a Comment