Jun 4, 11
5:17pm
Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.
Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata-mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam pilihan raya umum.
Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan dan calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.
Mohamad Sabu kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.
Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.
PAS dalam genggaman profesional
Untuk Naib  Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai  jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala  Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli  Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga  disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.
Media arus  perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai  parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil  oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.
Namun, walaupun bertukar  nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap  sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan  yakin calon-calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi  PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.
Semua yang  dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang  lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan  PAS.
Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS  dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka  Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan. 
Mengaibkan negara  Islam?
Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang  oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya  PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara  Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.Kedua-dua  akhbar itu seharusnya memerinci nilai-nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS  Datuk Seri Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana  penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam. 
“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam  Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara  berkebajikan,” kata Hadi pada sidang medianya semalam.
Konsep negara  berkebajikan didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut  dipersetujui oleh DAP.
Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi,  Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang,  Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan  kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya  gusar dan cemas.Justeru kerana itulah Utusan dan Berita  Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama,  malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.
Sebelum pemilihan PAS  semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej  tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon. 
Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh  PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan  matlamatnya dengan pimpinan ulama. 
Agenda sempit Umno
Memang hebat  transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit  Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya  rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam  bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi  PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. 
Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai  gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap  politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan  bukan Islam.
http://malaysiakini.com/columns/166049
 
 
No comments:
Post a Comment