Tuesday, October 7, 2008

Titik noda pelawaan beraya

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my


GEMAS: Hasrat seorang remaja perempuan beraya di rumah seorang rakan mengundang padah apabila dia diperkosa lelaki itu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam di sebuah rumah di Felda Jelai, dekat sini, mangsa yang berusia 14 tahun dikatakan dipelawa lelaki terbabit meraikan Aidilfitri di rumah sahabat-handai mereka dengan menunggang motosikal.

Lelaki berusia 22 tahun itu bagaimanapun membawa mangsa ke rumahnya di Felda Jelai sebelum mempelawanya menjamu selera dengan hidangan kuih-muih.

Menurut sumber, ketika kejadian, ibu bapa suspek tiada di rumah menyebabkan lelaki itu berani membawa mangsa pada waktu malam.

“Selepas menjamu selera, mangsa terperangkap apabila suspek memujuknya melakukan hubungan seks,” katanya.

Sumber itu berkata, kejadian itu bagaimanapun disedari keluarga mangsa selepas anak mereka lewat pulang ke rumah.

“Mangsa menceritakan apa yang berlaku selepas didesak ibu bapanya yang mengesyaki sesuatu tidak kena,” katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Gemas, kira-kira jam 3 pagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, berkata suspek ditangkap pada jam 10 malam kelmarin di sebuah rumah di tanah rancangan Felda berkenaan.

“Dia akan dibawa ke mahkamah esok (hari ini) untuk ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

“Mangsa pula dihantar ke Hospital Tampin untuk pemeriksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/06102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...