Monday, November 3, 2008

30,000 kerja menanti - Jika pekerja Malaysia diberhentikan di Singapura


JOHOR BAHRU – Terdapat lebih 30,000 kerja kosong di Johor sedang menanti pekerja Malaysia yang mungkin diberhentikan oleh majikan di Singapura akibat kemelesetan ekonomi yang melanda republik itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Johor Bahru, Mohd. Sazali Abdul Wahab berkata, kekosongan dalam kategori pekerjaan profesional dan tidak profesional itu meliputi pelbagai sektor perindustrian serta perkhidmatan.

“Jabatan Tenaga Kerja Johor akan menggerakkan pelbagai program untuk membantu rakyat Malaysia di Singapura yang berkemungkinan diberhentikan kerja itu mencari pekerjaan di negara ini,” katanya di sini semalam.

Mohd. Sazali berkata, walaupun jabatan itu tidak mempunyai statistik yang tepat berkaitan bilangan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, tetapi ia dianggarkan dalam lingkungan 150,000 hingga 300,000 orang.

Katanya, pekerja Malaysia di Singapura bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi di republik itu, terutamanya sektor membabitkan pembuatan seperti kilang elektronik.

Tambahnya, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pekerja Malaysia yang diberhentikan itu ialah dengan mendaftarkan diri secara atas talian menerusi laman web JobsMalaysia milik Jabatan Tenaga Kerja.

“Setelah mendaftarkan diri di laman web terbabit, pihaknya akan memadankan pekerja yang diberhentikan itu dengan syarikat yang mempunyai kekosongan pekerjaan.

“Kita akan hubungkan pekerja terbabit dengan syarikat yang mempunyai kekosongan,” kata beliau.

Selain itu, katanya, mereka juga boleh berhubung terus dengan pejabatnya di seluruh Johor iaitu di Johor Bahru, Kluang, Muar, Segamat dan Batu Pahat.

Mohd. Sazali menambah, pekerja Malaysia di Singapura juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Atase Buruh negara yang ditempatkan di pejabat kedutaan negara di republik itu.

“Pihak Jabatan Tenaga Kerja Johor mempunyai pelan untuk membantu mereka (pekerja yang diberhentikan),” katanya sambil menambah, risalah tentang bantuan yang ditawarkan oleh jabatan turut akan diletakkan di Tambak Johor untuk kemudahan dan pengetahuan pekerja Malaysia di republik tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut sentiasa berhubungan dengan pihak tertentu, misalnya Pihak Berkuasa Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dalam usaha jabatan membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Katanya, MIDA akan memaklumkan tentang bilangan dan jenis pekerjaan yang diperlukan oleh syarikat kepada jabatan dan pihaknya pula akan menghubungkan dengan pekerja terbabit.

“Selain MIDA, kita turut bekerjasama dengan Pusat Pelaburan Kerajaan Johor dan Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (IRDA),” tambahnya. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1025&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...