Monday, November 3, 2008

Sasar pelajar universiti


Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


Ada kalangan mangsa sebenarnya tahu atau sedar mereka diperalatkan sebagai penyeludup dadah, tetapi tetap mahu melakukannya untuk mendapatkan kemewahan segera.


ANJING terlatih digunakan untuk mengesan dadah.

--------------------------------------------------------------------------------

SETAKAT ini, hampir 100 rakyat Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan pelajar, ditahan di luar negara seperti Argentina, Australia, China, Peru, Taiwan dan Venezuela kerana kes penyeludupan dadah.

Apabila ditangkap, kebanyakan mereka mengaku tidak mengetahui perkara sebenar dan mendakwa menjadi mangsa yang didalangi sindiket tertentu.

Bagaimanapun, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP), Kang Chez Chiang, keghairahan gadis tempatan untuk memperoleh wang dengan mudah dan kesempatan melancong ke luar negara secara percuma dikenal pasti sebagai faktor utama mereka terlibat dalam kes penyeludupan dadah ke luar negara yang didalangi sindiket antarabangsa.

Selain itu, tambahnya, faktor cinta turut menjadi punca mereka terjebak dalam kes menyeludup dadah ke luar negara kerana begitu percayakan teman lelaki.

"Pulangan lumayan yang dijanjikan oleh anggota sindiket kepada mangsa menyebabkan mereka tidak teragak-agak untuk melaksanakan tugas tersebut walaupun mengetahui risiko ditangkap.

"Tambahan pula, kebanyakan gadis yang terlibat mungkin berdepan dengan masalah kewangan, selain sanggup berkorban apa saja demi cinta kepada kekasih atau teman lelaki yang merupakan anggota sindiket terbabit," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


BEKAS pelajar Universiti Malaysia Sabah, Umi Azlim Mohammad Lazim mendakwa dia diperdaya untuk mengedar dadah.

--------------------------------------------------------------------------------

Malah, beliau turut memaklumkan bahawa ada kalangan mangsa sebenarnya tahu atau sedar mereka diperalatkan sebagai penyeludup dadah, tetapi tetap melakukannya semata-mata mahu mendapatkan kemewahan segera.

"Berdasarkan maklumat anggota perisikan kami, kebanyakan mangsa dalam kes ini sebenarnya tahu pemergian mereka ke luar negara untuk melakukan 'sesuatu pekerjaan'. Bagaimanapun, kebanyakan mangsa menyatakan pemergian mereka itu adalah untuk melancong sambil membawa masuk gold dust yang sebenarnya dadah.

"Tetapi, ada juga gadis atau wanita terbabit tahu mereka sebenarnya membawa masuk dadah, tetapi dapat diyakinkan anggota sindiket bahawa perbuatan itu tidak menjadi kesalahan di sesebuah negara dituju. Jika ditangkap, mereka disuruh mengaku telah diperdaya," jelas Kang lagi.

Menurut statistik, mereka yang paling ramai terlibat dalam kegiatan ini adalah kaum Melayu diikuti Cina dan India serta tidak ketinggalan wanita Siam yang berusia awal 20-an. Gadis atau wanita ini biasanya tidak berkelulusan tinggi dan tiada mempunyai pekerjaan tetap.



ANTARA jenis dadah yang dirampas oleh pihak berkuasa.

--------------------------------------------------------------------------------

Namun, trend terkini menyaksikan sindiket terbabit telah mula menjadikan pelajar universiti sebagai sasaran melunaskan pekerjaan mereka dengan cara membuatkan mangsa jatuh cinta dengan pujuk rayu dan janji manis yang ditaburkan.

"Pihak berkuasa dimaklumkan bahawa golongan 'pak hitam' atau anggota sindiket dadah tertentu begitu pintar dalam memperdayakan gadis-gadis supaya cair dengan tingkah laku mereka. Pada mulanya, mangsa akan ditaburi dengan kemewahan dan kasih sayang sehingga ada yang terlanjur untuk membuktikan cinta mereka kepada kekasih hati.

"Inilah situasi yang berlaku kepada gadis tempatan yang kemudian menjadi mangsa pihak-pihak tertentu demi kepentingan peribadi mereka. Apabila ditangkap di luar negara, sukar untuk kita membantu kerana setiap negara mempunyai undang-undang sendiri dan kita tidak boleh sesuka hati mencampuri urusan tersebut.

"Setiap negara mempunyai kedaulatan tersendiri. Bantuan yang boleh kita hulurkan ialah dengan mencari peguam di negara mereka ditahan untuk membela mereka.


--------------------------------------------------------------------------------

Tetapi, proses ini memerlukan kos yang amat tinggi," kata ACP Kang yang meminta supaya golongan wanita lebih berhati-hati dengan individu yang meminta bantuan menghantar dokumen atau barang ke luar negara.

Ditanya apakah langkah-langkah yang diambil pihak berkuasa bagi menangani masalah tersebut, Kang menjelaskan pihaknya akan meminta maklumat dari agensi pelancongan untuk melaporkan terus kepada mereka jika menerima sebarang pembelian pakej pelancongan yang meragukan daripada warga asing terutamanya Afrika.

"Dengan cara ini, kami akan berusaha mengesan dalang sindiket tertentu yang ingin mempergunakan gadis tempatan untuk tujuan penyeludupan sekali gus menyelamatkan mereka daripada terpedaya.

"Di samping itu, pihak berkuasa sering berhubung dengan pihak media jika terdapat sebarang tangkapan mengenai sindiket berkaitan untuk diuar-uarkan di akhbar dan televisyen sebagai langkah peringatan kepada orang awam supaya tidak terjerumus," katanya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...