Monday, November 3, 2008

Telur pula beracun

SHANGHAI - Rangkaian peruncit gergasi Amerika Syarikat, Wal-Mart mula menarik balik satu jenama telur utama dari rak rangkaian pasar raya syarikat berkenaan di China sebagai langkah berjaga-jaga selepas bahan kimia melamin dikesan dalam produk tersebut di Hong Kong, kata seorang jurucakap semalam.

Jurucakap Wall Mart di bandar raya Shenzhen, Mu Mingming berkata, syarikat itu mula menarik balik telur jenama Kekeda keluaran Hanwei Group iaitu pengeluar utama telur di China.

"Sejak beberapa hari lalu, kami menarik balik telur jenama itu dari rak-rak di semua pasar raya kami di China," katanya.

"Kami berbuat demikian sebagai langkah berjaga-jaga dan sebagai pendekatan bertanggung jawab terhadap pelanggan kami," tambahnya.

Keputusan oleh syarikat peruncit terbesar di dunia itu dibuat selepas pihak berkuasa Hong Kong mengumumkan pada hujung minggu lepas bahawa telur Kekeda mengandungi melamin.

Tindakan sama turut dilakukan pasar raya Park'N Shop yang terletak di bandar raya Guangzhou, kata seorang jurucakap syarikat berkenaan.

Sementara itu, jurucakap rangkaian pasar raya Carrefour di China, Chen Bo berkata, pasar raya itu akan terus menjual telur Kekeda tetapi mereka sudah meminta laporan jaminan kualiti daripada pembekal.

Penemuan di Hong Kong itu mendorong pihak berkuasa tempatan meluaskan ujian melamin meliputi makanan yang diimport dari tanah besar China termasuk daging, ikan ternak dan organ dalaman haiwan.

Setakat ini empat kanak-kanak meninggal dunia manakala 53,000 yang lain jatuh sakit akibat susu tercemar di China pada tahun ini selepas minum produk tenusu dicampur melamin. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...