Saturday, December 20, 2008

Bahan api subsidi nelayan turun 10 sen


KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan daripada RM1.30 seliter kepada RM1.20 seliter berkuat kuasa 1 Januari depan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan berkata, langkah itu selaras penurunan harga minyak dunia dan pengumuman terbaru kerajaan mengenai penurunan harga bahan api di stesen minyak pada 16 Disember lalu.

“Apabila harga petrol dan diesel dinaikkan pada 5 Jun lalu, kerajaan menawarkan bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik individu vesel perikanan dan warga Malaysia yang bekerja di atas vesel berlesen serta bayaran insentif pendaratan ikan sebanyak 10 sen sekilogram.

“Walaupun harga minyak diesel bersubsidi sudah diturunkan sebanyak 23 sen (penurunan 13 sen pada 16 Disember dan 10 sen mulai 1 Januari), kerajaan akan terus mengekalkan kedua-dua bantuan ini,” kata kementerian itu.

Kenyataan itu berkata, penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi sebanyak 23 sen seliter akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar kepada pemilik vesel antara RM460 dan RM7,360 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vesel.

Kerajaan juga akan merangka kaedah jangka panjang untuk semua bentuk pengagihan bantuan dan subsidi kepada nelayan pada awal tahun hadapan untuk memastikan semua bantuan kepada pemilik vesel mencapai matlamat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081220105530/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...