Saturday, December 20, 2008

Gelumang dosa

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my



MELAKA: Akibat hubungan cinta terlarang oleh keluarga, seorang wanita nekad mengambil keputusan tinggal bersekedudukan di rumah keluarga kekasihnya, selama tujuh tahun hingga melahirkan dua anak sebelum dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Malah lebih mengejutkan, pasangan terbabit seolah-olah mendapat ‘restu’ keluarga pihak lelaki yang mendiamkan diri selama tujuh tahun meskipun mengetahui perbuatan anak mereka itu adalah menyalahi undang-undang dan agama.

Ini terbukti apabila, ketika serbuan dan pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jaim, kira-kira jam 2.20 pagi, ibu bapa dan ahli keluarga teman lelakinya ada bersama di dalam rumah di Kuala Sungai Baru, dekat sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani, berkata hasil siasatan awal mendapati selama tinggal bersama keluarga lelaki itu, wanita terbabit melahirkan dua anak yang kini berusia tujuh tahun dan tujuh bulan.

Katanya, semuanya bermula apabila lelaki terbabit gagal bernikah bersama teman wanitanya itu yang terlebih dulu sudah berbadan dua, kerana tidak mendapat persetujuan ayah wanita terbabit.

“Bagi menutup malu, wanita terbabit tinggal bersama keluarga lelaki berkenaan sehinggalah dia melahirkan anak.

“Bagaimanapun, kerana tiada tempat perlindungan, wanita terbabit terus tinggal bersama keluarga itu.

“Walaupun tinggal bersama ibu bapa, mereka tidak mengawal perhubungan sehinggalah pasangan itu terlanjur dan melahirkan anak tidak sah taraf sekali lagi pada Mei lalu,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Rahimin berkata, berdasarkan aduan, pihaknya ke rumah keluarga berkenaan dan secara kebetulan lelaki terbabit baru pulang.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berkenaan bersama dua anaknya ada di rumah itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui ibu bapa kepada lelaki terbabit yang berusia 50-an serta anaknya yang lain serta anak saudaranya.

“Selepas diberi penerangan mengenai kesalahan yang disyaki dilakukan pasangan berkenaan mereka terus ditahan.

“Ibu bapa lelaki terbabit diberikan saman hadir untuk mereka ke pejabat Jaim bagi memberi keterangan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 54, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, kerana melahirkan anak luar nikah.

Katanya, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 55, enakmen sama kerana bersubahat persetubuhan haram.

“Sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081220113053/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...