Saturday, December 20, 2008

Hero Arab dapat lagi tawaran isteri

NABLUS - Seorang ketua keluarga di Tebing Barat, Palestin mahu memberi ganjaran berupa seorang isteri kepada wartawan Iraq yang membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush.

Ketua keluarga itu, Ahmad Salim Judeh, 75, berkata, sekiranya wartawan tersebut, Muntazer bersetuju, keluarganya akan membawa salah seorang anak perempuan mereka ke Iraq bersama-sama bayaran mas kahwin.

Ahmad Salim memberitahu bahawa seramai 500 anggota keluarganya boleh mengumpul wang sebanyak AS$30,000 (RM104,115) untuk membantu bayaran guaman Muntazer.

Menurut Ahmad Salim, keluarganya berasa sangat bangga dengan menawarkan salah seorang anak perempuan mereka kepada Muntazer untuk dijadikan isteri.

Muntazer, 29, kini menjadi wira dunia Arab selepas membaling sepasang kasut ke arah Bush sebelum ditahan dalam satu sidang media pada Ahad lalu di Baghdad.

Dalam budaya Arab, tindakan melempar kasut dianggap untuk menghina seseorang.

Dia membaling kasut bagi mewakili keluarga yang kehilangan orang tersayang selepas AS menyerang Iraq pada 2003 sehingga menyebabkan beribu-ribu rakyat tidak berdosa terkorban. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...