KABUL - Ahli-Ahli Parlimen Afghanistan semalam melucutkan jawatan menteri perdagangan kerana gagal mengawal harga runcit petrol walaupun minyak mentah terus merekodkan penurunan di pasaran dunia.
Menteri itu, Mohammad Amin Farhang dipanggil oleh Dewan Parlimen untuk menjawab soalan-soalan berhubung harga petrol serta isu kualiti barangan import yang didakwa rendah.
Menurut Speaker Parlimen, Mohammad Younus Qanooni, semua Ahli Parlimen yang hadir kecuali seorang mengundi memecat Mohammad Amin.
Harga minyak mentah dunia jatuh ke paras terendah dalam tempoh empat tahun semalam untuk didagangkan pada harga sekitar AS$40 (RM138.53) setong namun harga di Afghanistan jatuh 10 peratus setelah harga tertinggi AS$147 (RM509.10) direkodkan pada Julai lalu.
Ahli-Ahli Parlimen mendakwa Mohammad Amin hanya berdiam diri terhadap pengimport minyak yang menetapkan harga sesuka hati dan ada yang menuduh kementeriannya mengamalkan perdagangan tidak adil.
"Anda tidak mampu menurunkan harga minyak walaupun di stesen milik kerajaan yang dikawal oleh pihak kementerian. Ini menunjukkan anda terlibat," kata seorang Ahli Parlimen, Kabir Rangebar.
Muhammad Amin berkata, Afghanistan mengamalkan ekonomi pasaran terbuka menyebabkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan harga runcit petrol. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm
No comments:
Post a Comment