Friday, January 30, 2009

Air paya ganti air paip


KOTOR…kanak-kanak mandi di paya berikutan air paip
di rumah mereka sering terputus.


KUALA LIPIS: Kira-kira 70 penduduk Kampung Kubang Rusa, Merapoh, dekat sini, berdepan risiko dijangkiti pelbagai penyakit berbahaya apabila mereka terpaksa menggunakan bekalan air paya untuk kegunaan seharian, sejak sepuluh tahun lalu.

Difahamkan, penduduk terpaksa menggunakan sumber air paya berkenaan selepas bekalan air di kawasan itu sering mengalami gangguan dan terputus akibat tekanan rendah.

Malah, penduduk turut mendakwa terpaksa membayar sewa bagi penggunaan meter air pada kadar RM2.50 sebulan sedangkan bekalan air sering terputus.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati, kanak-kanak terpaksa menggunakan sumber air paya untuk kegunaan harian termasuk mandi manakala golongan dewasa pula dilihat mengangkut air ke rumah masing-masing.

Penduduk, Mohd Asri Sulaiman, 48, berkata pelbagai aduan sudah diajukan penduduk kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, namun masih tiada perubahan atau jalan penyelesaian diambil.

Menurutnya, penduduk turut kecewa berikutan kegagalan pihak bertanggungjawab turun padang meninjau masalah dihadapi mereka sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepatutnya, JBA turun padang menerangkan kepada penduduk mengenai keadaan sebenar, sekurang-kurangnya menyelesaikan masalah kami.

“Kami memang tidak sanggup lagi mengangkut air sejauh satu kilometer selain bimbang dengan keselamatan anak yang terdedah kepada bahaya ketika mandi di paya itu,” katanya.

Mohd Nor Ahmad, 44, pula berkata penduduk kecewa dengan tindakan jabatan berkenaan yang didakwa sambil lewa selain gagal memantau masalah dihadapi penduduk sejak sekian lama.

“Paling mengecewakan apabila mereka mengambil masa lama untuk menyelesaikan masalah berhubung aduan paip pecah hingga menyebabkan berlaku pembaziran air.

“Saya tidak nafikan bekalan air ada tetapi tidak mencukupi” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129091015/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...