Friday, January 30, 2009

Rompak 30 pekerja Nepal

Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my




JOHOR BAHRU: Biarpun sebahagiannya baru berusia belasan tahun, polis menyifatkan empat lelaki bersenjatakan parang sebagai penjenayah kejam dan tidak berhati perut kerana bukan saja melarikan harta benda, malah tergamak memijak serta menetak mangsa rompakan hingga cedera parah di Kawasan Perindustrian Pari Gudang, Isnin lalu.

Dalam kejadian 6.15 pagi itu, tiga mangsa ditetak dengan parang sehingga cedera di kepala, bahu dan badan manakala seorang lagi cedera teruk di kaki akibat dipijak penjenayah terbabit.

Namun, hasil kecekapan polis dan maklumat orang ramai, kumpulan itu akhirnya tumpas apabila tiga daripadanya diberkas polis dalam tempoh kira-kira empat jam selepas kejadian rompakan di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, empat penjenayah bersenjatakan parang itu melakukan samun berkawan di asrama pekerja di kawasan perindustrian itu dengan menjadikan 30 pekerja warga Nepal sebagai mangsa.

“Secara kejam tanpa perikemanusiaan, mereka merompak dan mencederakan mangsa sehingga seorang daripada mereka terpaksa menerima 10 jahitan di kepala. Ini adalah rompakan kejam kerana penjenayah menggunakan senjata secara bebas dan berbahaya terhadap mangsa.

“Suspek kemudian melarikan 11 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM500 daripada semua mangsa terbabit. Bagaimanapun, ketika kejadian, seorang mangsa sempat menyusup lari ke kilang sebelah dan meminta bantuan pengawal keselamatan menghubungi polis.

“Apabila menyedari kehadiran anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kira-kira jam 6.40 pagi, empat suspek cuba melarikan diri tetapi seorang daripadanya terjatuh ketika memanjat pagar menyebabkan dia ditahan kumpulan pekerja terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, hasil penahanan suspek terbabit dan maklumat orang ramai, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pergi ke sebuah rumah di Taman Scientex, kira-kira 11 pagi dan menahan dua lagi suspek.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai semula 11 telefon bimbit, sebilah sabit, wang tunai RM21 dan 177 Rupee Nepal.

“Tiga suspek berusia 17 hingga 23 tahun itu direman seminggu sehingga 2 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan tiada rekod jenayah lampau.

“Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai terbabit dalam 18 kes samun berkawan dengan sebahagian sasaran adalah asrama pekerja asing. Kami percaya suspek ada ahli kumpulan lain dan siasatan dilakukan mengesan saki baki kumpulan itu.

“Polis kini melancarkan gerakan besar-besaran mengesan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas dan orang ramai digesa tidak bersubahat cuba melindungi penjenayah sebaliknya menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau hotline 07-2212999,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129092645/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...