Friday, January 30, 2009

Guru tadika diseret 20 meter

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


AMPANG JAYA: Lazimnya peragut menaiki motosikal namun kali ini berbeza apabila sekumpulan empat peragut menaiki kereta dan menjadikan guru tadika sebagai mangsa di Taman Nirwana, Ampang, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, seorang wanita berusia 42 tahun tidak menyedari gerak-gerinya diperhatikan kumpulan peragut ketika dia baru tiba di tadika berkenaan.

Sejurus keluar dari kenderaan, empat peragut menghampiri mangsa dan seorang daripadanya menarik beg tangan wanita itu, namun tidak melepaskannya menyebabkan dia diseret kira-kira 20 meter.

Tindakan kejam peragut yang terus menyeret wanita terbabit menyebabkan mangsa mengalami cedera di beberapa bahagian badannya.

Menurut sumber, wanita itu tinggal berhampiran tempat kejadian itu baru beberapa minit turun dari keretanya sebelum beg tangannya ditarik peragut.

“Wanita itu panik namun tidak melepaskan beg tangan menyebabkan diseret kereta dinaiki peragut yang cuba melarikan diri itu.

“Kejadian itu menarik perhatian beberapa penduduk di kawasan berhampiran menyebabkan kumpulan peragut terbabit melepaskan beg tangan wanita itu sebelum memecut kereta mereka,”
katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, seorang kanak-kanak ternampak kejadian itu dan menjerit meminta pertolongan sebelum didengari penduduk.

Sumber berkata, beberapa penduduk kemudian membantu mangsa dan menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa sempat melihat seorang daripada peragut memegang ‘sesuatu’ namun tidak pasti sama ada ia senjata yang digunakan kumpulan terbabit kerana kejadian berlaku begitu pantas.

“Walaupun kumpulan terbabit tidak memakai topeng, namun mangsa gagal mengecam mereka berikutan terlalu panik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Suspek menaiki kereta Toyota Vios berwarna emas dan pemeriksaan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan rompak,”
katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ragut itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Rakan Cop di talian 03-2052 9999.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130093123/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...