Friday, January 30, 2009

‘Lapor polis jika kami tak pulang’

Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Kali terakhir Fairos hubungi saya, dia menangis dan beritahu mahu pulang ke Kuala Kangsar bersama anaknya kerana tak tahan dibelasah suami.

“Dia juga berpesan supaya saya membuat laporan polis jika mereka tidak pulang.”
Itu kata-kata terakhir seorang wanita warga Malaysia yang mati dibunuh di Ranong, Thailand, kepada ibunya, Marthiah @ Saadiah Mat Piah, 63.

Ranong adalah sebuah wilayah kecil kira-kira 600 kilometer dari selatan Bangkok dan bersempadan dengan Myanmar.

Mangsa, A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, yang berkahwin dengan seorang lelaki warga Belanda, Mohd Lufti Abdullah @ Lambertus Den Dulk, menghubungi Marthiah kali terakhir pada 8 November 2007.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu yang tinggal di rumah sewa di Ranong mendapat cahaya mata lelaki, Johan Sebastiaan, 5.

Menceritakan keadaan anaknya ketika itu, Marthiah berkata, dua hari selepas itu, dia menghubungi Mohd Lufti, tetapi dia sekadar memaklumkan Fairos sudah pulang ke Malaysia.

“Menantu saya itu menyerahkan telefon kepada cucu, Johan yang ketika itu hanya menyebut perkataan ‘oma’,” katanya.

Dia pelik kerana menantunya menyatakan Fairos sudah pulang ke Malaysia, namun Johan masih berada di Thailand.

Walaupun pelik, Marthiah yang tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap anaknya mungkin mahu menyelesaikan sendiri masalah dengan suami.

“Saya cuba lagi menghubungi Fairos dan menantu seminggu selepas itu, tetapi gagal,” katanya yang membuat laporan polis tiga bulan kemudian seperti dipesan Fairos jika dia tidak pulang ke Malaysia.

Dia membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Kuala Kangsar.

Marthiah yang masih tidak berputus asa cuba menghubungi Fairos di rumah sewa mereka.

Bagaimanapun, panggilan itu dijawab penyewa baru.

Melalui seorang rakan yang fasih berbahasa Thai, dia meminta nombor telefon pemilik rumah daripada penyewa baru itu lalu diberitahu menantunya membayar sewa dua bulan berturut-turut.

Namun, selepas tempoh dua bulan itu berakhir, rumah berkenaan disewakan kepada orang lain.

Kehilangan secara misteri anaknya itu terjawab apabila rangka manusia ditemui dalam tangki najis di rumah sewa itu, empat bulan lalu.

Rangka itu ditemui bersama sepasang coli yang dipercayai milik mangsa ketika kerja pembersihan tangki najis dilakukan di rumah berkenaan.

Menurut Marthiah, dia hanya mengetahui kematian Fairos apabila menerima panggilan daripada polis Thailand pada 13 Oktober lalu.

“Ketika itu, saya terkejut dan tidak menyangka dia akan mati dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

Dia ditemani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz serta dua peguam, Noraishah Shamsuddin dan Yasmin Mohd Ariff bergegas ke Balai Polis Ranong untuk membuat padanan DNA pada 10 November lalu.

“Sebaik ditunjukkan rangka itu, naluri keibuan kuat menyatakan ia Fairos. Pihak berkuasa mengambil sampel darah, rambut dan tisu mulut untuk DNA. Saya juga dibawa ke rumah anak saya dibunuh,” katanya.

Identiti rangka itu disahkan sebagai Fairos melalui ujian DNA oleh Institut Perubatan Forensik, Hospital Polis di Bangkok, yang mendapati ia sepadan dengan DNA darah, rambut dan tisu Marthiah.

Berikutan penemuan itu, polis Thailand sedang mengesan Mohd Lufti dan Johan.

Mohd Lufti disahkan sudah meninggalkan negara itu dengan menaiki pesawat dari Bangkok ke Singapura sebelum ke Belanda.

Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada rekod menunjukkan anak mangsa, Johan dibawa keluar dari negara itu dan nasibnya tidak diketahui sehingga kini.

Fairos yang mengajar Bahasa Inggeris secara persendirian di Ranong mengenali Mohd Lufti di Langkawi yang ketika itu bekerja dengan syarikat perkapalan.

Walaupun bernikah di wilayah Satun, Thailand pada 22 Jun 2004, mereka mengadakan kenduri kahwin di rumah ibu Fairos di Kampung Temung Hilir Enggor, Kuala Kangsar, Perak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130094230/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...