Friday, February 13, 2009

Dilema pelacur Kemboja

Kerajaan Kemboja mula melaksanakan Undang-undang Penindasan terhadap penyeludupan manusia dan eksploitasi seks mulai Februari tahun lalu.


RUMAH-RUMAH pelacuran yang beroperasi di tepi jalan di Phnom Penh.


'TIADA apa yang boleh dilakukan di Kemboja melainkan menjadi seorang pelacur. Jika anda tidak mempunyai wang untuk membeli beras, itu bermakna anda terpaksa melihat keluarga dan sanak-saudara menderita dalam kebuluran.

"Anda perlu membuat sesuatu untuk meneruskan kehidupan walaupun sedar natijah daripada perbuatan yang dilakukan itu," luah Chanta, seorang warga Kemboja yang pernah bekerja di wilayah pelacuran di barat bandar raya Phnom Penh beberapa bulan lalu sebelum dia ditahan di bawah Kanun Penindasan Manusia ke arah seks.

Polis pernah menangkapnya dalam satu serbuan di mana pihak polis khuatir Chanta melacur di tempat awam. Dia dikenakan denda sebanyak AS$2 (RM6.96).

Namun, menurut cerita Chanta, pegawai polis yang menangkapnya terlebih dahulu merogolnya secara berkumpulan dan memukulnya sepanjang dia ditahan selama enam hari di dalam lokap.

Akibat perbuatan terkutuk kumpulan pegawai polis tersebut, seluruh badan pelacur malang itu dipenuhi kesan lebam. Namun, mereka tidak pula diheret ke muka pengadilan.

Kerajaan Kemboja mula melaksanakan undang-undang baru iaitu Undang-undang Penindasan terhadap penyeludupan manusia dan eksploitasi seks mulai bulan Februari tahun lalu.

Pelaksanaan undang-undang baru itu berlaku setelah mendapat tekanan daripada pihak Amerika Syarikat untuk mengetatkan kawalan penyeludupan manusia terhadap penindasan seks.

Sejak itu, pihak berkuasa Kemboja kerap menyerbu rumah-rumah pelacuran yang beroperasi di tepi jalan. Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia mengadu bahawa undang-undang baru itu akan memburukkan lagi eksploitasi terhadap wanita.

"Undang-undang berkenaan, memberi kebenaran atau kuasa kepada pihak polis di semua peringkat untuk menangkap dan menghukum para pekerja seks," kata Pengarah Kumpulan Hak Asasi Manusia Tempatan, Licadho Naly Pilorge.

"Pihak berkuasa menangkap pekerja-pekerja seks tersebut dan mengheret mereka ke balai polis serta pusat pemulihan. Di sana, mereka didera dengan teruk. Mengikut statistik Pertubuhan Anti Penindasan Afesip, terdapat lebih daripada 500 wanita telah ditangkap kerana menjalankan kegiatan seks dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2008.

Pertubuhan itu mendakwa, undang-undang baru itu menjadikan wanita lebih mudah menjadi mangsa perdagangan haram sekali gus meningkatkan kadar jangkitan penyakit melalui kegiatan seks apabila para pelacur berhenti membawa kondom kerana takut dijadikan bahan bukti di sebalik kegiatan mereka.

Katanya, mereka yang ditahan pula kerap didera di dua buah pusat pemulihan iaitu Prey Speu dan Koh Kor yang diawasi oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial Kemboja.

Koh Kor terletak di sebuah pulau yang merupakan tapak penjara dan kem melaksanakan hukuman bunuh di bawah rejim Khmer Rouge.

Walaupun Chanta dan mangsa-mangsa lain menjadi mangsa rogol, dipukul dan diperas ugut oleh pegawai polis di pusat pemulihan tetapi pihak berkuasa menafikan kenyataan itu berulang kali.

Pengarah Jabatan Antipengedaran Haram, Jeneral Bith Kimhong berkata, beliau tidak percaya bahawa sesiapa pun telah didera di bawah undang-undang baru itu kerana beliau belum pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana mangsa.

"Lebih daripada 100 orang awam telah ditahan pada tahun lalu kerana didakwa terlibat dengan penyeludupan manusia yang kian bertambah. Serbuan ke rumah-rumah pelacuran dan rumah tumpangan membuktikan komitmen kerajaan bagi menamatkan penyeludupan seks.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menguatkuasakan undang-undang," kata Bith Kimhong.

Pada Mac tahun ini, kerajaan dijangka menguatkuasakan larangan berkahwin dengan warga asing kerana bimbang pertambahan wanita dijadikan hamba seks.

Timbalan Gabenor di sebuah wilayah di Phnom Penh, Pich Socheata memberitahu, papan-papan tanda dan kempen pembersihan pelacuran semakin banyak diletakkan di tepi jalan tetapi beliau masih bersimpati dengan nasib pekerja-pekerja seks itu.

"Mereka juga wanita seperti saya. Saya amat memahami bahawa tiada seorang pun wanita ingin melakukan kerja terkutuk ini," ujarnya.

Sementara itu, Keo Tha, seorang anggota kakitangan dari Kumpulan Hak Asasi Pekerja Seks iaitu rangkaian kesatuan wanita menyatakan kebanyakan wanita Kemboja masih dipaksa untuk terlibat dalam pelacuran gara-gara kesukaran mencari kerja akibat krisis kewangan global yang semakin melonjak.

Justeru, katanya, satu undang-undang yang wajar perlu diperkenalkan bagi menjadikan pelacuran sebagai satu kegiatan yang sah di sisi undang-undang.

"Kini, kami bagaikan dihimpit dengan pelbagai perkara antaranya polis, undang-undang dan peningkatan kos sara hidup," katanya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...