Friday, February 13, 2009

LCCT Labu - Hanya Kabinet boleh beri kata putus

Hanya Kabinet boleh beri kata putus


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan keputusan sama ada meneruskan pembinaan cadangan Lapangan Terbang Penerbangan Murah (LCCT) di Labu atau sebaliknya, hanya boleh diputuskan oleh Kabinet. 

Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata ini berikutan cadangan asal pembinaan LCCT yang dirancangkan di Labu dibentangkan kepada Kabinet menerusi Unit Pembangunan Ekonomi (EPU), dan bukan melalui MOT. 

“MOT tidak mempunyai kuasa meluluskan cadangan itu kerana ia dibentangkan bukan melalui kementerian saya dan keputusan mengenai perkara itu (sama ada meneruskan pembinaan atau membatalkannya) terletak di tangan Kabinet. 

“Projek LCCT di Labu sebenarnya projek berinisiatifkan swasta dan rundingan antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan AirAsia Bhd mengenai pembinaan LCCT baru masih berjalan. Namun, kerajaan tidak terbabit sama. 

“Biasanya kita tidak menetapkan kerangka masa. Yang penting ialah hasil perbincangan itu. Pendirian kita jika sesuatu projek itu diteruskan ia perlu mengambil kira beberapa faktor iaitu kawalan keselamatan udara, terminal antara hubungan (transit) dan kepentingan negara untuk mempunyai LCCT baru,” katanya selepas memeterai perjanjian lesen baru KLIA dan penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Sungai Besi, semalam. 

Perjanjian itu dimeterai antara Ong mewakili MOT dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Bashir Ahmad. 

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Kabinet tidak meluluskan cadangan pembinaan LCCT di Labu. 

Namun, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diberi tugas membina LCCT baru, berhampiran terminal sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, melalui perundingan dengan AirAsia Bhd.

Ong berkata, rancangan untuk membina LCCT yang bersepadu dan lengkap memang sudah lama dibincangkan di antara MOT dan MAHB sebelum ini sebagaimana yang termaktub dalam pelan induk lapangan terbang kebangsaan tetapi lokasinya belum ditetapkan lagi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090213085346/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...