Friday, February 13, 2009

Pemuda BN anjur rapat umum 'daulat tuanku' di PWTC

13 Feb 2009 9:29AM

KL: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan satu perhimpunan bagi menunjuk dan menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada institusi raja yang diancam pihak tertentu kebelakangan ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perhimpunan yang dinamakan Himpunan Menjunjung Setia 'Daulat Tuanku' akan diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis, 19 Februari pukul 8 malam.

Menurut Hishammuddin, perhimpunan itu bukan untuk mencipta dan bermusuh dengan mana-mana pihak, tetapi ia adalah satu langkah positif untuk menyatukan suara hati generasi muda secara tersusun bagi menyatakan taat setia kepada sultan dan raja.

"Situasi kebelakangan ini telah mencemarkan imej institusi raja dan sistem raja berperlembagaan, selain tindakan itu dilihat tidak bertanggungjawab ia juga telah memalukan sistem itu di negara ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Hishammuddin seterusnya menyeru pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kelompok profesional dan bukan profesional, pertubuhan politik, agama, kebajikan, dan seni mempertahankan diri menghadiri perhimpunan itu nanti.

Katanya, adalah menjadi harapan Pemuda BN agar perhimpunan kali ini akan menjadi satu penanda aras kepada seluruh masyarakat walaupun berbeza pandangan dan ideologi agar tidak melampaui batas susila.

''Perhimpunan tersebut diharap dapat menunjukkan pendirian kita bagi mempertahankan kedaulatan institusi raja dan sultan daripada sebarang bentuk merendah, mencemuh, mempertikai dan menghina institusi itu.

''Malah, ia juga dilihat menjadi titik tolak agar rakyat merapatkan semula hubungan dengan istana secara lebih harmoni dan positif dalam semangat negara berperlembagaan,'' ujar beliau. / Utusan




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...