Friday, February 13, 2009

Umpan naluri songsang

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Lagak tampan selain mampu menjadi teman sosial di ranjang, dijadikan modal beberapa penjenayah kacak digelar ‘gay jambu’ untuk aktif menjalankan kegiatan memperdaya sebelum melarikan pelbagai barang berharga dari kaki disko tempatan selain pelancong asing.

Difahamkan kumpulan penjenayah ini yang mempunyai kemahiran berkomunikasi selain bijak bergaul kerap mencari mangsa di sekitar pusat hiburan dan disko di ibu kota.

Golongan lelaki homoseksual ini akan berpura-pura tidur sebilik hotel dengan mangsa sebelum menggeledah dan melarikan semua wang dan barang bernilai sewaktu mangsa sedang tidur nyenyak. 

Malah siasatan polis turut mengesyaki suspek turut menggunakan pil khayal yang dicampurkan ke dalam minuman mangsa untuk membuat mangsa pengsan sebelum disamun.

Dalam kejadian terbaru Ahad lalu, seorang pelancong warga Arab Saudi menjadi mangsa apabila diperdaya lelaki yang baru dikenali di sebuah pusat hiburan Jalan P Ramlee, di sini.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan membawa pulang seorang lelaki yang baru dikenalinya ke bilik hotel di Jalan Pudu di sini.

Menurutnya, sebaik sampai di bilik hotel itu, mangsa bersama rakan yang baru dikenalinya itu berbual kosong sambil minum.

“Bagaimanapun mangsa mendakwa tiba-tiba terasa pening dan mengantuk sebelum tertidur. Mangsa yang tersedar kira-kira jam 4 petang keesokan harinya mendapati lelaki yang dikenalinya itu sudah tiada.

“Lebih mengejutkan apabila beg duit berisi wang tunai RM350, telefon bimbit dan kad kredit miliknya yang disimpan di dalam seluar didapati hilang dipercayai diambil lelaki terbabit,” katanya. 

Susulan itu, mangsa yang kerugian lebih RM1,500 segera membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan. Dipercayai suspek meletakkan pil khayal di dalam minuman mangsa untuk membuatkan mangsa tidak sedarkan diri. 

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang pelancong lelaki warga Australia kerugian wang tunai lebih RM600 selepas dilarikan tiga lelaki yang baru dikenalinya di sebuah disko di Jalan P Ramlee.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 48 tahun berkenalan dengan tiga lelaki tempatan di hadapan sebuah disko sebelum mereka berbual mesra.

Mangsa yang bekerja sebagai jurutera kemudian mempelawa tiga lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan untuk pulang ke bilik hotel didiami berhampiran Jalan Sultan Ismail di sini.

“Ketiga-tiga suspek yang bersetuju dengan ajakan mangsa kemudian mengekori mangsa ke bilik hotel berkenaan sebelum mangsa dikatakan berbual panjang dengan suspek.

“Difahamkan, mangsa hanya menyedari diperdaya kumpulan lelaki berkenaan selepas mendapati peti keselamatan di dalam bilik hotelnya itu terbuka,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menyedari dompet duitnya berisi wang RM600, kad kredit, lesen memandu dan pasport lesap dilarikan lelaki terbabit.

“Berikutan itu, mangsa segera membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan bagi memudahkannya memohon semula pasport dari pihak kedutaan. 

“Setakat ini polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hotel berkenaan bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090213091132/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...