Friday, February 13, 2009

Keganasan rumah tangga kesan krisis ekonomi - Dr Ng Yen Yen

Keganasan rumah tangga kesan krisis ekonomi


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bimbang kegawatan ekonomi akan turut mempengaruhi keharmonian rumah tangga rakyat negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata walaupun masih tidak ketara kesannya, namun impak kegawatan ekonomi dikhuatiri menyebabkan berlaku peningkatan kes keganasan rumah tangga seperti dilaporkan di negara lain.

“Misalnya dilaporkan keganasan rumah tangga di kalangan rakyat di Britain sudah berganda tahun lalu. Di dalam negara pula, lebih daripada 2,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lalu.

“Kita sedar masalah kewangan sering menjadi isu ketegangan dalam rumah tangga dan kita perlu berusaha untuk mengelakkannya khasnya dalam suasana ekonomi masa kini.

“Ini ialah antara fokus utama kita tahun ini kerana kita khuatir masalah keganasan rumah tangga akan meningkat disebabkan masalah kewangan yang dilihat semakin meruncing berikutan krisis kewangan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran kementeriannya di sini, semalam.

Dr Ng berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menyediakan publisiti melalui media mengenai kesedaran perlunya mewujudkan suasana rumah tangga yang harmoni.

Beliau juga menasihati golongan lelaki supaya mengenepikan ego dan segera mendapatkan khidmat kaunseling sekiranya berhadapan dengan masalah rumah tangga.

“Ini amat penting bagi mengelakkan mereka daripada mengganas dan menjadikan ahli keluarga sebagai mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya kini turut mempunyai 50 kaunselor lelaki untuk memberikan khidmat kaunseling. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...