“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Umno serah kerusi Ketua Menteri
Nik Aziz  mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan  timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat  berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di  negara ini.“Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua  menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di  Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok  di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor  bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?
“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya  dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak  untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya  melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.Menurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan  pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya  dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politik mereka.
“Sukalah untuk saya  menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan  tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. 
Salah lapor budaya media Umno
“Syak saya  teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam  memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan  budaya media milik Umno?” soalnya.
Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan  petugas media milik Umno.“'Islam plastik' yang pernah saya tuturkan satu ketika  dahulu pun pernah dilaporkan sebagai 'Islam Palestin'.
Menurut mursyidul  am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah  bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.
“Melayu,  Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT  melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah  SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan  rasuah, menindas, mengkhianat dan  sebagainya. 
Songkok tiga jengkal
“Sekalipun songkok  setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak  mempunyai sebarang nilai,” katanya.Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar  Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.
“Di Kelantan saya pernah  mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri  daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang  soleh.
“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana  Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan,  syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh  sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang  Melayu yang korup!” katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.
http://malaysiakini.com/news/149768
 
 
No comments:
Post a Comment