Dis 1, 10
1:01am
Katanya, keputusan yang dibuat sebulat suara oleh majlis tertinggi itu melibatkan pemilihan bagi peringkat bahagian dan jawatankuasa tertinggi parti.
"Ini merupakan peruntukan dalam Perlembagaan parti yang  bukan kali pertama tetapi beberapa kali kita gunakan supaya seluruh perhatian  dan tenaga kita terarah ke arah memantapkan proses penyediaan pemantapan parti  kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi itu di ibu  pejabat parti berkenaan di Kuala Lumpur lewat malam semalam.
Najib berkata keputusan untuk menunda tarikh pemilihan itu dibuat bagi  mengelakkan perpecahan di kalangan anggota parti itu pada tahun  depan.
Tambahnya, parti itu yakin akan dapat mengawal tekanan seperti itu  yang dilihatnya berlaku dalam parti politik lain.
"Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku  pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh  pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti," katanya.
Katanya lagi,  beliau menginginkan parti itu menumpukan usaha untuk memperkuat dan memperbaiki  Umno berasaskan model politik baru.
Pilihan raya umum
Jangkaan sebelum ini  bahawa Umno sedang menyusun semula barisan kepemimpinannya bagi menghadapi  pilihan raya mengejut bagaimanapun meleset dengan pengumuman itu.Najib dalam perhimpunan agung parti itu bulan lalu  mengumumkan akan membuat penyususan semula berkenaan ke atas barisan  kepemimpinannya yang menimbulkan jangkaan berkenaan.
Mengulas perkara  itu, Najib berkata penyusunan semula kepemimpinan negeri sedang berjalan dan  satu penguman mengenainya akan dibuat menjelang akhir tahun.
Katanya  beliau memerlukan masa untuk membolehkan timbalan presiden dan setiausaha agung  bertemu dan membuat rundingan dengan pemimpin tertentu di peringkat negeri bagi  mengenalpasti bidang tugas mereka.
Ditanya sama ada penangguhan pemilihan itu ada kaitan  dengan pilihan raya umum ke 13 akan datang, Najib, yang menang tanpa bertanding  bagi tempoh pemilihan parti 2008-2011, berkata ia bukanlah sesuatu yang  baru.
"Setahu saya sudah tiga empat kali kita pakai peruntukan ini dari  dulu lagi, tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa," katanya.
Kali  pertama MT Umno menunda pemilihan parti ialah pada tahun 1999, apabila  perhimpunan itu ditangguh hingga Mei 2000 bagi membolehkan parti memberi  tumpuan
kepada pilihan raya umum 1999.
Mengenai penyusunan semula  kepimpinan Umno peringkat negeri, Najib berkata beliau akan mengumumkan perkara  itu sebelum hujung tahun ini kerana memerlukan sedikit masa untuk berbincang  dengan beberapa pemimpin tertentu di peringkat negeri.
Penyusunan peringkat negeri
"Saya telah maklumkan bahawa perkara ini akan dilakukan dan diumumkan sebelum  akhir tahun ini dan bukan malam ini, saya perlukan sedikit masa bersama-sama  timbalan presiden dan setiausaha agung untuk berjumpa dan berunding dengan  beberapa pemimpin di peringkat negeri untuk lebih menentukan apakah tugasan dan  jangkaan terhadap mereka," katanya.Beliau berkata penyusunan semula itu mungkin akan  membabitkan muka baru dan juga ada pemimpin yang akan dilantik semula.
Ditanya mengenai desas-desus akan berlaku rombakan Kabinet, Najib sekali lagi  mengulangi bahawa itu hanya khabar angin dan terpulang kepada individu untuk  membuat tafsiran masing-masing.
"Itu semua khabar angin, bila saya kata  khabar angin ia boleh jadi betul, ada sesetengah khabar angin boleh jadi tidak  betul, terpulang pada tafsiran masing-masing," katanya.
Kursus wajib parti
Perdana Menteri berkata  mulai awal tahun depan, semua ketua cawangan dan ketua sayap peringkat cawangan  diwajibkan untuk menghadiri kursus parti yang bakal menyaksikan lebih 50,000  pemimpin Umno diberi latihan.
"Kita akan terus melakukan perubahan  berdasarkan kepada Model Politik Baru yang telah saya gariskan tujuh prinsipnya,  dan ini kita akan murnikan lagi dan kita akan terangkan tentang gagasan  1Malaysia dan bagaimana Umno adalah parti yang mendahulukan rakyat, (menjaga)  kepentingan rakyat dan (mementingkan) delivery system (sistem penyampaian)  kita," katanya.Najib berkata mesyuarat itu juga mengambil maklum berkenaan  dengan perkembangan semasa politik negara selain telah menerima laporan mengenai  kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi  baru-baru ini.
"Kita juga ambil maklum bahawa umum berpendapat  perkembangan kini menjurus kepada perkembangan yang lebih merangsangkan dan  lebih positif, mungkin ini disebabkan dengan langkah-langkah yang diambil oleh  pihak kerajaan menampakkan sedikit sebanyak kejayaan dan penambahan keyakinan  rakyat," katanya.
http://malaysiakini.com/news/149647
 
 
No comments:
Post a Comment