Dis 2, 10
3:16pm
"Saya belum mendapat perkembangan yang terkini. Bagi perkara yang merentas  sempadan seperti ini, kita perlu babitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) dan Wisma Putra (Kementerian Luar) berhubung kebimbangan ia  menjejaskan hubungan dua hala ataupun pelbagai hala,” kata Hishammuddin pada  sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.
Semua pihak yang relevan perlu  dibabitkan kerana kerajaan tidak boleh bertindak secara  silo.
"Kita mesti rujuk dengan angensi risik pakar luar negara yang  kita ada berhubungan,” katanya.
Tangani cara betul
Ditanya mengenai  butiran firma tempatan yang dipalitkan dalam isu itu, Hishamuddin juga cuba  mengelak daripada memberikan jawapan secara langsung."Ada syarikat Malaysia yang terbabit tetapi saya tidak  boleh ulas kecuali saya berunding dengan pihak yang relevan dahulu. Ini isu baru  dan kesannya serius, biar kami tangani dengan cara yang betul dan bekerjasama  dengan pihak-pihak terlibat,” kata ahli parlimen Sembrong itu.
Katanya, jaringan risikan negara hanya mengetahui kewujudan dua syarikat yang membekalkan senjata kepada Iran selepas dokumen sulit itu didedahkan.
"Sebelum kita (KDN) membuat sebarang kenyataan dan pendirian, kita perlu mengambil kira hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara yang terbabit dalam kes ini kerana isu keamanan dan keselamatan negara," katanya.
Wikileaks memuatkan beberapa dokumen mendedahkan bahawa tindakan  syarikat berkenaan mencabuli perjanjian perdagangan antarabangsa dan sekatan  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas Iran.Menurut kabel surat menyurat yang dihantar pada 3 Februari  tahun ini dari pejabat Setiausaha Negera Amerika Syarikat kepada kedutaannya di  Beijing, dua syarikat berpangkalan di Malaysia dikenalpasti sebagai dalang  berkenaan.
Syarikat Electronics Component Limited, (ECL), bersama satu  lagi syarikat Malaysia, Skylife Worldwide Sdn Bhd, dilaporkan sebahagian  daripada rangkaian syarikat hadapan Iran yang digunakan bagi mendapatkan  'barangan sensitif' bagi pihak 'entiti Iran bagi pembikinan senjata  nuklear”.
Skylife Worldwide dilaporkan kini disiasat oleh polis.
Berprofil tinggi
Hishamuddin juga berkata, KDN telah meminta PDRM untuk menimbang mewujudkan  satu unit jurucakap khas untuk memberi maklumat kepada media dan orang ramai  dalam kes berprofil tinggi.
"Jurucakap khas ini adalah satu unit  tambahan kepada pusat Pusat Media dan Facebook PDRM yang dilancarkan di Ibu  Pejabat Polis Bukit Aman pada 21 September lalu.
"Penubuhan jurucakap  khas ini diwujudkan untuk memastikan siasatan itu dijalankan secara telus, ia  tidak menjejaskan siasatan," katanya sambil menambah bahawa Ketua Polis Negara,  Tan Sri Ismail Omar, akan mengetuai dan mengawal selia unit jurucakap khas itu. Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid  Hamidi, berkata walaupun kementerian itu mempunyai sistem kawalan keselamatan  data pertahanan negara yang ketat, namun masih ada lagi sesetengah pihak yang  cuba menceroboh dan membocorkan rahsia itu kepada umum.
Katanya, sejak  penubuhan kementerian itu, ada penggodam yang sentiasa mencari jalan untuk  menembusi sistem keselamatan itu bagi kepentingan tertentu.
"Kita  sentiasa meneliti jika maklumat-maklumat pertahanan negara terkeluar daripada  simpanan.
"Ini kerana saya fikir tidak ada mana-mana pemimpin bersetuju  jika maklumat pertahanan keselamatan keluar sebagai satu dokumen yang boleh  mengancam keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas menutup Majlis  Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat kementeriannya di Kuala Lumpur hari ini. 
Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan WikiLeaks berhubung maklumat  diklasifikasikan sebagai sulit negara atau organisasi kepada umum.Ahmad Zahid berkata, kementeriannya akan melakukan  penyiasatan terperinci terhadap laporan itu dengan kerjasama Kementerian Luar  bagi meneliti aspek undang-undang yang boleh dilakukan dan diambil bagi  menghentikan aktiviti itu dijalankan.
"Seperti apa yang Timbalan Perdana  Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata semalam, kita akan siasat kesahihannya. 
"Jika ia membabitkan mana-mana syarikat yang didaftarkan di dalam Majlis  Industri Pertahanan, Keselamatan dan Penguatkuasaan, kita akan ambil langkah  tertentu supaya tidak melanggar piagam dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu (PBB)," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau  aktiviti dalam dan luar negara yang dilihat membahayakan keselamatan dari segi  pendedahan maklumat atau kebocoran dokumen sulit pertahanan negara.
http://malaysiakini.com/news/149805
 
 
No comments:
Post a Comment