Tuesday, January 13, 2009

Mana 100 lembu saya?

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim



RUGI...mangsa menunjukkan salinan laporan polis
dan beberapa dokumen berhubung dakwaan
penipuan yang dilakukan syarikat terbabit.


KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif akaun kerugian RM15,000 selepas pelaburan yang dibuat untuk menyertai program keusahawanan berasaskan produk daging lembu yang dianjurkan sebuah syarikat hanya indah khabar dari rupa.

Syarikat itu turut menawarkan beberapa program kononnya untuk melahirkan usahawan Bumiputera dalam bidang pertanian dan penternakan secara komersial.

Bagaimanapun, setiap peserta yang ingin mengikuti program yang dianjurkan perlu membuat bayaran komitmen sebagai syarat.

Shaiful Azman Ismail, 25, berkata dia tertarik menyertai program berteraskan pelaburan penternakan lembu yang ditawarkan syarikat beribu pejabat di ibu kota itu mendakwa turut disokong Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

“Saya mengenali syarikat itu berikutan sentiasa mengikut beberapa ‘roadshow’.

“Antara tujuh program keusahawanan ditawarkan, saya yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat memilih menyertai program Ternakan Lembu Secara Fidlot,”
katanya ketika mengunjungi Balai Berita di sini, semalam.

Harian Metro difahamkan, selain bidang penternakan, syarikat itu turut menawarkan program industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, dia memasukkan RM15,000 dan dijanjikan 100 lembu bagi fasa pertama selain pelbagai kemudahan menternak.

“Saya turut dijanjikan kursus menguruskan ternakan serta persediaan masuk ke ladang, namun apabila tiba tarikh ditetapkan, pelbagai alasan diberikan pengendali program.

“Saya meletak jawatan semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian bagi projek ini,”
katanya.

Shaiful berkata, selepas beberapa kali kursus dianjurkan syarikat terbabit ditunda tanpa sebab kukuh, dia menarik diri daripada menyertai program berkenaan.

Katanya, dia bersama beberapa peserta program menuntut semula wang yang sudah didepositkan sebelum ini, tetapi pihak syarikat terbabit memberi pelbagai alasan.

“Kami juga sudah membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya dan aduan kepada MeCD,” katanya.

Sementara itu, melalui surat dikeluarkan kementerian terbabit bertarikh 13 November 2008 dan ditandatangani Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) MeCD, Datuk Mohd Hashim Abdullah meminta syarikat terbabit membayar balik wang komitmen yang sudah dibuat peserta terbabit.

Katanya, kementeriannya ada bermesyuarat dengan syarikat itu selepas menerima beberapa aduan mengenai program yang ditawarkan pada 23 September 2008 dan syarikat itu bersetuju memulangkan kembali wang komitmen setiap peserta.

“Ketidakupayaan syarikat dan kaedah pelaksanaan program yang menimbulkan kecurigaan banyak pihak boleh menjejaskan hasrat MeCD dan usahawan yang berminat terutama kepada mereka yang membuat komitmen melalui pembayaran.

“MeCD juga memandang serius tindakan syarikat itu yang menggunakan nama kementerian dalam pelbagai promosi dan berharap ia dihentikan segera,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113090547/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...