Tuesday, January 13, 2009

Sosilawati mohon cerai taklik


Oleh Murni Wan Omar

HULU KLANG: Pengasas produk kecantikan Novelles Visage, Sosilawati Lawiya memfailkan permohonan cerai taklik terhadap suaminya, penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaluddin Elias di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menangguhkan kes itu sehingga 13 Februari depan bagi membolehkan Nash, 48, sebagai defendan memfailkan afidavit jawapan terhadap tuntutan Sosilawati, 44.

Sosilawati yang diwakili peguam syarie, Noorhaiza Mariena Mat Ramli menyerahkan tuntutan dan afidavit kepada defendan pada 6 Januari lalu serta salinannya kepada mahkamah.

Sementara itu, peguam Amli Embong yang mewakili Nash memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di luar kawasan.

“Saman dan tuntutan itu baru diterima, oleh itu kami memohon tarikh baru bagi membolehkan dokumen terbabit diteliti sebelum membuat afidavit jawapan serta bagi mendapatkan arahan anak guam saya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, kami tidak bersetuju dengan perenggan 12 dan 13 seperti yang terdapat dalam afidavit itu kerana ia masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan akan didengar pada 2 Februari.

“Ia tidak relevan dengan permohonan cerai itu,”
katanya.

Dalam perenggan berkenaan ada menyatakan nasib plaintif menjadi lebih malang apabila defendan melakukan kemudaratan terhadap harta benda iaitu wang pelaburan Amanah Saham Berhad (ASB) berjumlah RM200,000, wang pelaburan Amanah Saham Wawasan (ASW), wang pelaburan RM50,000 yang ketiga-tiganya didaftarkan atas nama defendan, selain wang RM480,000 untuk menyelesaikan hutang pinjaman rumah.

Mahkamah menetapkan 13 Februari sebutan semula.

Hakim Syarie juga meminta kedua-dua pihak cuba menyelesaikan perkara itu secara baik di luar mahkamah.

Sebelum ini, mahkamah sama memutuskan Nash dan Sosilawati masih pasangan suami isteri yang sah.

Nash melafazkan sumpah nafi dia tidak ada melafazkan cerai terhadap Sosilawati melalui telefon pada jam 8.30 malam, 12 September 2007.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113091906/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...