Tuesday, January 13, 2009

Pelan atasi pengangguran


Oleh Mohamad Sofee Razak


KADAR pengangguran global sangat membimbangkan banyak negara, termasuk negara maju ketika dunia berhadapan dengan krisis ekonomi kronik yang menyebabkan puluhan ribu hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Biarpun begitu, walaupun masalah pengangguran negara ini masih dalam keadaan terkawal, sebagai langkah persediaan, memerlukan kerajaan merangka pelan strategik bagi mengatasi kemungkinan yang boleh berlaku.

Pelan Tindakan Pekerjaan Nasional (NAPE) 2008-2010 yang dilancarkan bakal menjadi landasan kepada kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah pengangguran di negara kita.

Pelan itu bertindak sebagai langkah persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan peningkatan dalam kadar pengangguran pada masa hadapan.

Pengangguran boleh berlaku kesan langsung krisis ekonomi global, suasana politik tidak stabil, kebergantungan kepada tenaga buruh, teknologi, kepakaran asing dan sebagainya.

Mekanisme sistematik dan dinamik menangani masalah pengangguran mampu bertindak balas terhadap permintaan rendah dalam pasaran buruh di samping menjadi ejen perubahan dalam pasaran tenaga kerja dan mampu meningkatkan daya saing negara dalam pasaran tenaga kerja global.

Bajet 2009 turut menekankan aspek pembangunan modal insan memandangkan daya tahan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa akan datang banyak bergantung kepada usaha membangunkan tenaga kerja.

Oleh itu, budaya cemerlang di semua peringkat tenaga kerja sama ada sektor awam atau swasta perlu disemai bagi meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Inisiatif dan perancangan yang sangat inovatif perlu bagi menjayakan usaha mengurangkan jurang pengangguran di Malaysia.

Ini dilakukan dengan menggalakkan penciptaan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada semua peringkat.

Di samping itu, rancangan menggalakkan penyesuaian dan mobiliti dalam pasaran pekerjaan sangat perlu bagi memastikan komitmen dan pengekalan sumber tenaga kerja serta menggalakkan pembangunan modal insan dan pembelajaran berterusan.

Pekerja berpengalaman dan berusia sangat penting diberi perhatian serta layanan agar kepakaran dan kemahiran mereka dapat dimaksimumkan dan menjadi aset utama kepada sesebuah organisasi.

Usaha mengukuhkan lagi kesamaan gender dalam setiap bidang pekerjaan yang bersesuaian hendaklah dilaksanakan agar tidak wujud rasa tidak puas hati kepada mana-mana individu.

Pelan menggalakkan integrasi pasaran buruh bagi golongan kurang bernasib baik serta memastikan setiap kerja dibayar sewajarnya sangat penting dan konsisten.

Melihat kepada krisis pengangguran global, termasuk di Amerika Syarikat, China dan lain-lain, kerajaan perlu mempunyai pelan tindakan yang menjadi agenda utama negara dalam menyediakan hala tuju, langkah persediaan bijak dan strategik dalam menetapkan keutamaan serta peluang pekerjaan di pasaran buruh negara.

Dalam masa sama, kerajaan perlu memastikan kadar pengangguran dapat dikekalkan pada empat peratus tahun lalu dan tahun ini walaupun krisis ekonomi semasa akan memaksa langkah penjimatan majikan.

Melalui langkah, persediaan dan pelan yang dirangka, angka itu adalah kadar yang boleh diurus dan diyakini dapat dikekalkan kerajaan.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang dan peluang pekerjaan semakin terbatas, kerajaan bakal berdepan dua cabaran besar iaitu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan mengekalkan pekerjaan mereka serta lepasan universiti mempunyai tempat dalam pasaran.

Masalah kedua pula mengekalkan aliran kredit bagi memastikan pemilik perniagaan dapat meneruskan operasi perniagaan dengan dana latihan yang diperuntukkan kerajaan.

Oleh itu, masalah pengangguran rakyat diyakini dapat dikurangkan seminimum mungkin pada masa hadapan.

Biarpun begitu, diharapkan kadar pembuangan pekerja kali ini tidak seburuk ketika krisis ekonomi 1997 dan 1980-an apabila melalui pelbagai inisiatif, kerajaan dan semua pihak berusaha mengurangkan kadar pengangguran empat peratus ketika ini.

Menurut Keynes, negara yang mempunyai kadar pengangguran empat peratus atau kurang menunjukkan negara itu mencapai guna tenaga penuh.

Justeru, bagi memastikan kejayaan itu, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi dana latihan dalam usaha menyediakan peluang kepada pekerja meningkatkan kemahiran mereka.

Pengangguran dikategorikan sebagai tenaga buruh tetapi tidak menyumbang kepada keluaran negara.

Pengangguran boleh didefinisikan sebagai tenaga buruh yang tidak melakukan sebarang aktiviti ekonomi tetapi sedang giat mencari pekerjaan dalam ekonomi.

Kadar pengangguran dari tahun 1996 hingga tahun 2000 adalah turun naik iaitu pada 1996 dan 1997, kadar pengangguran turun daripada 2.5% kepada 2.4%.

Pada 1998 pula, kadar pengangguran semakin meningkat kepada 3.2% dan kemudian menurun daripada 3.0% dalam 1998 kepada 2.9% dalam 2000.

Masalah pengangguran di Malaysia masih rendah berbanding negara maju. Jerman misalnya, kadar penganggurannya kira-kira 12 peratus, Perancis (9 peratus), Amerika Syarikat (5.5 peratus) dan Jepun antara 4 hingga 5 peratus pada 2004.

Pengangguran dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan ekonomi dan sosial iaitu terhadap sektor ekonomi ialah berlakunya pengurangan keluaran negara.

Taraf hidup rakyat juga menurun memandangkan ia diukur dengan menggunakan pendapatan perkapita.

Apabila pendapatan perkapita rendah, taraf hidup penduduk juga rendah.

Untuk itu, antara inisiatif dirancang ialah meningkatkan peranan laman web JobMalaysia menerusi proses penjenamaan semula.

Tugas itu diamanahkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang akan mempromosikan laman web berkenaan ke seluruh negara.

Masalah pengangguran amat membimbangkan kerana kadar pengangguran tinggi boleh mengurangkan pendapatan negara dan memberi kesan langsung kepada jumlah pungutan cukai pendapatan dan cukai keuntungan syarikat.

Kerajaan akan kekurangan dana dan sumber pendapatan. Ia akan melambatkan proses pembangunan negara apabila kerajaan tidak dapat menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur untuk menjana pertumbuhan ekonomi di samping menambahkan lagi jurang kemiskinan dalam masyarakat.

Pengangguran jika tidak dikawal dan ditangani secara holistik akan memberi kesan kepada struktur sosial dan budaya yang boleh mewujudkan suasana tidak tenteram dalam keluarga dan masyarakat di samping meningkatkan kejadian antisosial.

Ini akibat masalah kewangan daripada pengangguran yang teruk. Penganggur sanggup merompak, culik, bunuh dan sebagainya untuk mendapatkan wang serta meningkatkan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri seseorang.

Oleh itu, majikan, persatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak terbabit perlu terus memberi maklum balas serta kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi menjayakan pelan menangani masalah pengangguran.

Tumpuan utama kerajaan perlu diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan latihan, termasuk meningkatkan dan memperbaharui kemahiran pekerja dari semasa ke semasa.

Bagi menggalakkan penciptaan pekerjaan, lebih banyak peluang mesti diwujudkan dalam sektor berasaskan teknologi dan pengetahuan serta bidang yang mampu menawarkan bidang pekerjaan baru seperti bidang keusahawanan, pertanian, pengurusan dan kejuruteraan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyelidikan dan pembangunan (R&D).

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113091010/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...