Tuesday, January 13, 2009

Dua beradik curi kerana empat hari tak makan


MISKIN...Che Wangi hanya mampu memberi air
kopi kepada anak-anaknya.


JITRA: “Adik-adik saya mencuri kerana terlalu lapar. Sudah empat hari kami tidak makan kerana tidak mempunyai wang dan hanya minum air kopi saja.”

Demikian luahan hati seorang wanita, Siti Shuhaini Abdul Hamid, 28, mengenai dua adiknya yang ditahan polis kerana mencuri makanan di sebuah kedai runcit, dekat sini, kelmarin.

“Mereka terpaksa mencuri kerana terlalu lapar. Bukan niat mereka untuk melakukan jenayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala 10, Jerlun, dekat sini, semalam.

Kedua-dua adiknya, masing-masing lelaki dan perempuan berusia 19 dan 20 tahun itu, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.

Siti Shuhaini, kakak sulung daripada tujuh beradik itu, berkata dia terpaksa menebal muka berhadapan dengan masyarakat kerana empat adiknya pernah ditahan polis kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah.

“Saya dah tak malu berdepan dengan orang ramai kerana kami ditakdir hidup susah dan saya tidak menyalahkan adik-adik saya kerana mereka melakukan perbuatan itu kerana kemiskinan hidup kami,” katanya.

Sebelum itu, empat adiknya termasuk adik perempuan berusia 14 tahun ditahan polis kerana kesalahan mencuri barang di kedai runcit.

“Kami tak minta hidup dalam keadaan begini walaupun dicemuh masyarakat kerana kemiskinan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Siti Shuhaini berkata, sumber makanan mereka hanya ikan yang ditangkap di sawah selain tidak makan nasi kerana tidak mampu membeli beras.

Ibu mereka, Che Wangi Salleh, 40, pula menghadapi masalah penglihatan sejak kecil manakala bapa mereka, Abdul Hamid Abdullah meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Siti Shuhaini berkata, dua adik lelakinya, Mohd Azuan, 13, dan Mohd Azli, 14, yang belajar di Sekolah Menengah Air Hitam di sini diserahkan kepada keluarga angkat sejak kecil akibat kemiskinan.

Tinjauan Harian Metro ke rumah keluarga itu mendapati ia kosong, malah langsung tiada kelengkapan perabot dan mereka hanya memakai pakaian diberi orang secara bergilir-gilir.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090113092611/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...