Saturday, February 7, 2009

Amaran senggugut

Senggugut yang ekstrem ketika didatangi haid adalah petanda penyakit endometriosis. Lebih menggerunkan penyakit itu boleh menyebabkan seseorang itu mandul.


WANITA yang mencapai usia reproduktif berisiko tinggi mendapat endometriosis.


SESETENGAH wanita yang mengalami kesakitan ketika haid menganggap simptom tersebut adalah perkara biasa. Mereka menanganinya dengan makan ubat dan kemudian rasa sakit hilang antara dua hingga lima hari.

Namun, tahukah anda kesakitan senggugut yang melampau dan berulang kali adalah petanda kepada penyakit endometriosis? Secara saintifik, endometriosis membawa maksud selaput rahim yang tumbuh di luar rahim seperti usus, pundi kencing, salur kencing, tiub fallopian dan bahagian lain di luar kawasan pelvik.

Perlu diketahui, endometriosis bukan senggugut, tetapi senggugut yang teruk merupakan simptom endometriosis. Ia masalah yang kerap berlaku dan dua pertiga daripadanya berpunca daripada ketidaksuburan wanita.


ENDOMETRIOSIS boleh menyebabkan seseorang wanita mandul.


Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Norlida Kairon berkata, punca sebenar endometriosis tidak diketahui, tetapi kemungkinan darah yang terperangkap itu boleh menyebabkan pembentukan sista darah.

Sista darah pula mungkin boleh membentuk parut dan menyebabkan tisu abnormal melekat. Apabila itu berlaku, ia akan menimbulkan kesakitan ketika haid.

"Apa yang menakutkan wanita apabila endometriosis melekat pada dinding pelvik, ovari, tiub fallopian dan rektor vagina, ia boleh menyebabkan kemandulan," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di hospital pakar itu di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Norlida memberitahu, wanita yang mencapai usia reproduktif berisiko mendapat endometriosis. Malah, beliau juga memberitahu, sebanyak 40 peratus wanita yang menghidap endometriosis bakal berdepan dengan mandul. Faktor bangsa atau umur tidak banyak mempengaruhi endometriosis kerana ia boleh berlaku pada setiap wanita.


DR. NORLIDA berharap wanita yang mengalami senggugut segera berjumpa doktor.


Apa yang penting, Norlida berharap wanita yang mengalami senggugut tidak menganggapnya perkara biasa, sebaliknya perlu diberi perhatian serius, terutama jika mereka mengalaminya sejak mula mendapat haid. Masalah itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan wanita boleh mengesan perubahan haid mereka pada usia lewat 20-an dan 30-an.

Norlida juga menjelaskan, punca sebenar endometriosis tidak diketahui, tetapi jika ibu atau adik-beradik perempuan mendapat endometriosis maka risiko adik-beradik lain untuk mendapat penyakit itu adalah tinggi.

Apabila ditanya mengenai rawatan bagi penyakit itu, Norlida memberitahu, rawatan awal endometriosis ialah ubat. Antara ubat-ubat yang digunakan untuk merawat atau mengawal endometriosis ialah ubat tahan sakit non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAID) dan ia dikatakan berkesan bagi mengurangkan kesakitan dan juga aliran haid.

Selain itu, penggunaan pil perancang keluarga dan juga suntikan antihormon seperti Gonadotropin Releasing Hormone (GnRH) juga boleh digunakan ke atas pesakit.




Bagi kes yang teruk, ubat preskripsi narkotik terpaksa digunakan bagi mengawal kesakitan yang melampau.

"Jika ubat masih lagi tidak berkesan kepada pesakit, pembedahan membuang endometriosis perlu dilakukan," katanya.

Norlida berharap semua wanita yang mempunyai simptom endometriosis berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Jika tidak, keadaan mereka akan lebih bertambah parah.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...