Saturday, February 7, 2009

Rumah kebajikan jadi pusat dera?


INILAH Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di Kuantan yang menjadi tempat tinggal Misman.


KUANTAN - Penemuan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang lari dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di sini menimbul persoalan apabila dia mendakwa telah didera di pusat penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu.

Mangsa, Misman Mat Suliman yang ditemui oleh pegawai Pusat Kutipan Zakat Pahang selepas semalaman tidur di tangga masjid negeri kelmarin mendakwa, dia melarikan diri kerana dipukul dengan sebatang buluh oleh seorang penjaga sehingga kepalanya berdarah.

"Pada hari saya lari Selasa lepas, saya bergaduh dengan kanak-kanak lain di rumah itu ketika makan yang bukan berpunca daripada saya.


SIKU Misman turut ada kesan luka.


"Penjaga itu menyalahkan saya dan memukul kepala saya menggunakan sebatang buluh sehingga kepala saya berdarah," katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Kutipan Zakat di sini kelmarin.

Ekoran itu, Misman yang ditukar ke rumah itu dari Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz Durian Daun, Melaka sejak awal tahun lalu nekad untuk melepaskan diri dan merayau-rayau selama dua hari di bandar ini.

"Saya keluar waktu Maghrib semasa pintu pagar tidak berkunci dan pengawal keselamatan pula tidur.

"Saya melarikan diri dengan berjalan kaki sehingga sampai ke Masjid Sultan Ahmad Shah dan tidur di tangga masjid," katanya.


MISMAN menunjukkan jarinya yang bengkak.


Sebelum kejadian tersebut, Misman menyatakan dia dan kanak-kanak lain sering dipukul oleh penjaga di situ walaupun atas sebab kecil.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...