Saturday, February 7, 2009

SPR tak akan kaji semula keputusannya

Feb 4, 09 2:20pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengkaji semula keputusannya berhubung kedudukan dua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Changkat Jering dan Behrang yang dibuatnya semalam kerana ia berdasarkan undang-undang, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Beliau berkata tidak timbul soal bertindak di luar batas kuasa kerana mengikut Perkara 36 (5) Perlembagaan negeri Perak SPR perlu memastikan bahawa berlaku kekosongan di luar jangka untuk memberi laluan kepada pilihanraya kecil diadakan.

"Tetapi dalam kes ini timbul keraguan dalam memastikan berlakunya kekosongan itu, justeru kami memutuskan bahawa kekosongan tersebut tidak berlaku," katanya kepada Bernama.

Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat hanya berdasarkan sudut perundangan dan mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu.

Beliau berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, mereka boleh membawanya ke mahkamah.

Semalam, Abdul Aziz dilaporkan berkata, SPR memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa telah kosong melalui peletakan jawatan masih, disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Susulan itu, tiada pilihanraya kecil di kerusi itu kerana SPR tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut, katanya.

Dalam mesyuarat khasnya pagi semalam, SPR memutuskan "wujud keraguan" pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.

Oleh itu, SPR memutuskan bahawa kerusi-kerusi tersebut masih disandang oleh kedua-dua Adun berkenaan yang memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihanraya umum ke-12 lalu.

Mengulas lanjut hari ini, Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat berdasarkan sudut perundangan dan mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu.

Beliau berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, mereka boleh membawanya ke mahkamah.

"Kita terbuka (kalau mereka hendak membawa kes ini ke mahkamah), dan kita takkan halang malah kita akan patuh dan takkan persoalkan apa sahaja keputusan mahkamah nanti," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang turut mendakwa SPR bertindak di luar batasan kuasanya apabila mengekalkan status quo kedua-dua Adun itu.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Abdul Aziz berkata tindakan mempersoalkan keputusan itu seolah-olah mencabar kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, kerana pelantikan beliau sebagai pengerusi SPR dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

"Tak manislah begitu.. tak beradab.. Kalau tak bersetuju boleh dibawa ke mahkamah.. Tak perlulah cabar begitu," katanya. 

http://www1.malaysiakini.com/news/97563

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...