Saturday, February 7, 2009

MB Selangor yakin ADUN Pakatan tidak lompat



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melahirkan keyakinan bahawa tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat di Selangor yang akan melompat parti seperti yang berlaku di Perak.

Beliau berkata, tiga parti di bawah Pakatan Rakyat; Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP memahami bahawa tindakan melompat parti hanya akan memberi kesan yang sangat buruk kepada parti dan Pakatan Rakyat.

"Saya berpendapat perkara ini (lompat ini) tidak akan berlaku dan kemungkinan untuk berlaku sangat sedikit.

"PKR, PAS dan DAP baru memahami bagaimana kita mesti jaga maruah ahli dan parti kita supaya tidak ada ADUN boleh lompat ke sana ke mari dan beri kesan yang sangat buruk kepada parti dan Pakatan Rakyat seperti yang berlaku di Perak," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Simpanan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) Ambank dan Kad Si Manja Tawas di kediaman rasminya di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya sejauh mana kesetiaan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang berpunca daripada tindakan Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) mengumumkan keluar pakatan itu dan menjadi ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada BN.

Semalam, Barisan Nasional (BN) secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak apabila ADUN kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Ditanya tindakan beliau jika insiden lompat parti turut berlaku di kalangan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor, Abdul Khalid berkata: "Saya ingat tiada tanda-tanda ia akan berlaku."

Khamis lepas, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, setakat ini, tiada ADUN dari Pakatan Rakyat Selangor menemui beliau untuk menyertai BN bagi membolehkan BN kembali menguasai negeri itu.

Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, 36 dikuasai Pakatan Rakyat dan bakinya adalah milik BN.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...