Saturday, February 7, 2009

Kuasa di tangan rakyat

Kemelut politik yang disusuli dengan kegoyahan ekonomi dan keamanan di Thailand mencuri perhatian segenap pemimpin negara dan penduduk global.




DI mana silapnya? Ia menjadi persoalan yang tiada penghujung dan jawapan. Baru sebulan setengah menyandang jawatan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva terus mendapat tentangan demi tentangan dari segenap arah.

Serangan bertalu-talu dalam bentuk bantahan dan tunjuk perasaan sehingga memaksa peletakan jawatan seorang menteri Kabinet, memberi lebih banyak tekanan kepada pemimpin muda yang berusia 45 tahun itu.

"Jika kita meneliti proses pemilihan pemimpin di negara demokrasi, ia seharusnya berbalik kepada pilihan raya iaitu menyerahkan mandat memilih pemimpin kepada rakyat."

"Namun, apa yang terjadi selepas Somchai Wongsawat digulingkan ialah junta membuka laluan kepada Abhisit untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tanpa mempertimbangkan proses demokrasi."

Demikian lontaran pandangan Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff, pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika menjawab mengapa kedudukan Abhisit begitu goyah walaupun baru mengetuai Thailand selama sebulan setengah.


"MEMPUNYAI darah kacukan Thailand dan China."


Jika diteliti, Abhisit sebenarnya pemimpin yang mewarisi sebuah negara yang penuh dengan masalah.

Bermula dari era pemerintahan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pada tahun 2001, penularan gejala rasuah, pengkhianatan, mengelak membayar cukai, perbalahan kepentingan rakyat, pengekangan kebebasan media dan menjual aset negara kepada pelabur asing secara sewenang-wenangnya menjadi amalan yang membangkitkan kemarahan rakyat.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia, Amnesty International dan Human Rights Watch juga tidak putus-putus mengeluarkan amaran kepada kerajaan Thailand berhubung rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Islam.

Protes di pekan Tak Bai, wilayah Narathiwat pada 25 Oktober 2004 adalah antara hari paling tragis dalam pergolakan politik Thailand apabila lebih 2,600 nyawa melayang.

Samak Sundaravej yang mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Thaksin yang ditumbangkan oleh protes rakyat, bagaimanapun hanya mampu mengawal keadaan selama lima bulan sebelum dia juga menerima nasib yang sama.


"KUMPULAN Red Shirts yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Sinawatra bertempur dengan pasukan keselamatan."


Ketidakstabilan menjadi penyebab tumbangnya kerajaan beliau dalam masa yang singkat selain dipengaruhi oleh barisan Kabinet yang tidak berkaliber.

Biarpun enggan akur pada desakan penunjuk perasaan untuk meletak jawatan dalam krisis politik terhebat dalam hidupnya pada tahun 2008, Samak yang menghadap Raja Bhumibol Adulyadej tetap diketepikan lantas Somchai Wongsawat dari parti yang sama, Parti Kuasa Rakyat (PPP), dilantik sebagai Perdana Menteri baru.

Bagaimanapun Somchai Wongsawat menerima nasib yang lebih mengaibkan. Dilantik sebagai Perdana Menteri pada 18 September lalu, dia hanya mampu bertahan tidak sampai tiga bulan.

Somchai juga jatuh ekoran protes dan demonstrasi mega rakyat yang menyaksikan Bangkok lumpuh sama sekali.

Penunjuk perasaan mengepung ahli-ahli Parlimen dan senator dalam bangunan Parlimen pada 7 Oktober lalu dan ia memang memalukan Somchai. Dalam kekecohan tersebut, beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari pagar belakang bangunan.


"ABHISIT melawat penduduk Islam di wilayah selatan Pattani."


Pembongkaran kes Somchai pernah mengabaikan tanggungjawab sewaktu bekerja di Jabatan Keadilan, turut mengurangkan popularitinya dalam kalangan rakyat. Lalu, tidak hairanlah apabila Mahkamah Perlembagaan menyekat Somchai menceburi politik selama lima tahun mulai 2 Disember 2008.

Akhirnya Abhisit dilantik mengetuai takhta kerajaan baru pada 17 Disember lalu. Namun, belum pun punggungnya panas di kerusi Perdana Menteri, satu persatu masalah mendepani pemerintahanya,

Ini termasuk bekas pucuk pimpinan negara, Thaksin Shinawatra yang mendakwa Abhisit meniru dasarnya lalu didesak meletak jawatan.

Permohonan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melakukan siasatan ke atas tentera Thailand yang mengusir pendatang haram dari Myanmar ke laut tanpa bekalan keperluan juga menjadi satu isu antarabangsa.

Tidak dilupakan situasi genting yang membelenggu di selatan Thailand yang mahu menegakkan nasib dan masa depan penduduk yang rata-ratanya beragama Islam.


"PENUNJUK perasaan yang antikerajaan membaling botol ke arah polis antirusuhan di hadapan bangunan Parlimen di Bangkok."








Akibat kekacauan politik itu, ia mengekang perkembangan ekonomi negara Gajah Putih tersebut sejak tiga tahun lalu. Insiden itu juga menyebabkan pembuat polisi Thailand gagal menyuntik pendekatan-pendekatan yang memberangsangkan bagi pertumbuhan positif ekonomi negara serta membantu mengurangkan tempias kegawatan ekonomi yang dirasai di seluruh pelosok dunia.

Jika Abhisit mampu menunaikan janji-janji ekonomi yang memutikkan bunga di hati rakyat jelata khususnya dalam projek-projek pembangunan termasuk merancakkan kemasukan pelaburan asing, ia mungkin dilihat mampu memanjangkan tempoh jawatan Abhisit.

"Penduduk di negara itu mempunyai impian dan agenda masing-masing. Yang paling penting ialah jaminan keselamatan terutamanya di selatan Thailand. Untuk itu, kedua-dua parti (Parti Demokrat dan PPP) perlu terlebih dahulu berhenti bertelagah dan bekerjasama untuk menstabilkan ekonomi dalaman."

"Kedua, tarik pelabur asing untuk menyuburkan kembali ekonomi sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Gejala rasuah tidak begitu penting dan mungkin tersenarai dalam objektif ketiga," jelas Agus lagi yang menyatakan walaupun Abhisit dilantik tanpa melalui proses pemilihan yang betul, namun beliau memiliki pandangan yang berbeza dan baru.

"Cuma, beliau harus patuh pada undang-undang dan membuktikan karisma politik yang mampu meraih penghormatan rakyat."

Menyingkap sedikit mengenai figura penting di Thailand hari ini, Abhisit yang dilahirkan pada 3 Ogos 1964 di Newcastle-upon-Tyne, United Kingdom, merupakan seorang anak dari kelas pertengahan. Beliau berasal dari keluarga berada yang berketurunan Thai-Cina.

Kedua-dua ibu bapanya adalah profesor dalam bidang perubatan di mana bapanya, Dr. Athasit Vejjajiva adalah seorang teknokrat politik yang berpengaruh.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan Awam bagi Majlis Keamanan Kebangsaan semasa rampasan kuasa oleh pasukan tentera Thailand pada tahun 1991.

Abhisit memperoleh Ijazah Sarjana Muda (kelas pertama) dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Kolej St. John dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Universiti Oxford. Semasa menjadi pensyarah di Universiti Thammasat, Thailand, beliau sekali lagi memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Undang-Undang dari Universiti Ramkhamhaeng pada tahun 1990.

Biarpun digelar terlalu naif untuk berkecimpung dalam bidang politik berbanding tokoh veteran atau mereka yang lebih berpengalaman, namun Abhisit tidak mengambil masa yang lama untuk bergelumang dalam arena politik.

Tahun 1992 menjadi saksi kepada penyertaan sulung Abhisit dalam parti paling tertua di negara itu, Parti Demokrat dan muncul sebagai ahli Parlimen paling muda di negara itu. Usianya ketika itu baru 27 tahun tetapi berkobar-kobar dengan semarak api menawan kedudukan tertinggi parti.

Sekalipun cuba dan kalah merangkul gelaran ketua parti berulang kali, nasib menyebelahi dirinya apabila beliau dilantik sebagai Ketua Parti Demokrat pada tahun 2005. Kemenangan itu, bagaimanapun tidak mengukuhkan harapan dan kepercayaan penyokong parti pembangkang. Pada amnya, Abhisit dilihat umpama 'budak mentah' yang kurang berpengalaman. Dalam erti kata lain, beliau 'belum banyak makan garam'.

Namun, Abhisit disanjung oleh mereka yang berasal dari bahagian selatan Thailand dan komuniti yang berpendidikan kelas pertengahan di ibu kota Bangkok.

Ditanya mampukah Abhisit menghalang Thaksin kembali aktif berpolitik yang kini khabar angin itu bertiup kencang di dada akhbar, Agus berkata: "Selagi Raja Bhumibol tidak menerima dan meluluskan kemasukan Thaksin, selagi itulah dia tidak dapat berbuat apa-apa. Jadi, Abhisit masih mempunyai ruang untuk membetulkan keadaan."

Biarpun kedengaran desas-desus bahawa ada hikmah jika Abhisit berdamai dengan Thaksin, sekali lagi persoalan itu menimbulkan seribu satu kemusykilan lain iaitu sama ada sanggupkah ahli dari kedua-dua parti itu berfikir 'satu kepala'.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...