Thursday, February 12, 2009

Norish, bekas suami belum putus hak jaga anak

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sebutan bagi membolehkan pelakon Norish Karman dan bekas suaminya merekodkan persetujuan terhadap perincian perjanjian membabitkan hak penjagaan tiga anaknya.

Hakim Syarie Abu Bakar Mohd Daud menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan peguam Norish, Akbardin Abdul Kader, yang memberitahu ada beberapa isu kecil membabitkan persetujuan kedua-dua pihak perlu diselesaikan.

Ketika prosiding, Akbardin meminta tarikh lain berikutan kedua-dua pihak belum mencapai persetujuan untuk dijadikan perintah mahkamah.

Akbardin memberitahu Norish atau nama sebenar Nor’ Ashikin Karman, 34, gagal hadir berikutan demam dan beliau turut menyebut peguam syarie Muhammad Burok yang mewakili bekas suami Norish, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, yang mempunyai kes di mahkamah lain.

Sementara itu, di luar mahkamah, Akbardin memberitahu kedua-dua pihak masih tidak bersetuju membabitkan tiga perkara iaitu jadual lawatan bekas suaminya dan dokumen peribadi anaknya seperti pasport serta sijil kelahiran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...