Thursday, February 12, 2009

Tergoda tawaran jutawan segera

Tergoda tawaran jutawan segera

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

pelaburan antarabangsa dalam bahasa Jepun dan salinan
laporan polis dibuatnya." title="TERTIPU...Lee (kiri) dan Tay menunjukkan sijil keahlian sindiket
pelaburan antarabangsa dalam bahasa Jepun dan salinan
laporan polis dibuatnya." height="248" width="300" border="0">
TERTIPU...Lee (kiri) dan Tay menunjukkan sijil keahlian sindiket 
pelaburan antarabangsa dalam bahasa Jepun dan salinan 
laporan polis dibuatnya.

JOHOR BAHRU: Gara-gara terpikat dengan kata-kata manis pujukan seorang amoi menerusi telefon, seorang ahli perniagaan yang tergoda dengan tawaran menjadi jutawan segera daripada syarikat pelaburan atas angin dari Jepun, terpaksa berputih mata apabila kehilangan RM57,532.

Menceritakan kejadian itu, pengurus pembangunan perniagaan syarikat rangkaian telekomunikasi, Lee Wei Wah, 38, berkata skim berkenaan kononnya berupaya membantu usahawan mengejar cita-cita menjadi jutawan kerana menjanjikan pulangan 100 peratus dalam tempoh singkat.

Menurutnya, cara pelaburan berkenaan dilakukan dengan membeli saham syarikat itu yang dikatakan berpusat di Jepun dan jumlah minimumnya RM50,000.

“Saya seperti dipukau apabila mudah mempercayai kata-kata gadis yang menghubungi saya pada awal Jun lalu.

“Dia memperkenalkan dirinya sebagai Chan dan bekerja sebagai ejen di syarikat pelaburan antarabangsa.

“Gadis terbabit bertindak licik memujuk saya menyertai skim berkenaan dengan alasan memudahkan seseorang individu mencapai impian masing-masing termasuk melangsaikan hutang, membantu keluarga, menambah simpanan selain bagi menjalani kehidupan lebih mewah,” katanya.

Lee berkata, dia juga sanggup menuruti setiap arahan gadis terbabit termasuk membayar wang pendahuluan RM850 untuk mendapatkan keahlian skim pelaburan berkenaan.

Selepas bayaran dimasukkan ke akaun peribadi seorang ejen syarikat terbabit bernama Teo, dia menerima sijil keahlian sindiket terbabit dalam bahasa Jepun selain syarat perjanjian ditulis menggunakan bahasa Cina pada 12 Jun 2008 yang difaks ke pejabatnya di Jalan Songket 2, Taman Sentosa di sini.

Katanya, syarat perjanjian itu agak pelik kerana setiap pelabur perlu merahsiakan skim pelaburan berkenaan.

“Sekiranya ingkar, mereka tidak akan dibayar keuntungan seperti dijanjikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini pada 20 Oktober lalu.

Lee berkata, dia kemudian diminta memasukkan wang ke akaun peribadi beberapa ejen syarikat berkenaan termasuk seorang ejen yang dikatakan berasal dari Tokyo.

“Saya memasukkan wang itu enam kali mulai awal Jun hingga akhir Jun dan jumlah keseluruhannya RM56,682. Pulangan yang sepatutnya diterima RM113,364.

“Bagaimanapun, saya mula sangsi dengan gadis terbabit mahupun ejen lain yang pernah berurusan dengan saya kerana enggan menjawab panggilan telefon dan menamatkan perkhidmatan telefon masing-masing.

“Usaha bertemu mereka juga buntu apabila mendapati kumpulan ejen terbabit tidak berada di alamat pejabat diberikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada Julai tahun lalu,” katanya yang mengadu penipuan sindiket berkenaan kepada Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Michael Tay di Jalan Maju, Taman Pelangi di sini, semalam.

Tay berkata, orang ramai tidak seharusnya dikaburi sikap tamak sehingga sanggup melabur ribuan ringgit tanpa menyelidik syarikat berkenaan.

Menurutnya, orang ramai perlu mengabaikan sebarang panggilan telefon yang menawarkan skim pelaburan menyerupai skim cepat kaya kerana ia boleh mengundang kerugian.

“Kami menasihati orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mengetahui atau menjadi mangsa sindiket pelaburan seumpama itu, “ katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092353/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...