Thursday, February 12, 2009

Selangor Ambil alih 4 syarikat air

Ambil alih 4 syarikat air

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersedia membuat tawaran sebut harga mengambil alih aset dan ekuiti dimiliki empat syarikat konsesi air selepas mendapat persetujuan Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam bersetuju mengeluarkan surat dalam tempoh dua hari kepada empat syarikat konsesi iaitu Konsortiom ABASS Sdn Bhd; Puncak Niaga (M) Sdn Bhd; Syarikat Pengeluaran Air Selangor Holding Berhad (SPLASH) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menurutnya, kerajaan negeri serius bagi memastikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor selepas enam bulan dibuat membabitkan rundingan dengan semua pihak.

“Sebelum keputusan ini dibuat, kerajaan negeri melalui panel khas yang ditubuhkan mengkaji proses penyusunan semula industri air di Selangor membuat kajian terperinci menilai aset dan ekuiti semua syarikat.

“Kami berpandangan tawaran dibuat kepada semua syarikat konsesi berpatutan selepas mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri berharap penstrukturan semula perkhidmatan air dapat dibuat sebelum 31 Mac ini mengikut ketetapan diberi Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Kami membuat penjelasan kepada rakyat berhubung perkara ini, tetapi tarikhnya diumumkan kelak.

“Ia bertujuan menjelaskan maklumat yang diberikan kepada pemegang saham dalam negeri terutamanya disebabkan isu berkenaan memerlukan beberapa analisis kompleks dan penjelasan,” katanya.

Menurutnya, taklimat itu akan diberi mereka yang terbabit dalam industri air di Selangor termasuk mereka daripada beberapa industri yang bergantung kepada bekalan air, pembuat dasar sama ada di peringkat kerajaan negeri, pusat, badan awam dan pertubuhan pengguna dan sektor swasta.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212090856/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...