Thursday, February 12, 2009

Cegah tinggal secara haram di UK

Cegah tinggal secara haram di UK


KUALA LUMPUR: Malaysia kekal antara 10 negara teratas yang disenaraikan oleh kerajaan British bagi kesalahan tinggal melebihi tempoh dan melanggar undang-undang imigresen di United Kingdom (UK) disebalik komitmen kerajaan Malaysia untuk menangani masalah itu.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Boyd McCleary semalam berkata, kerajaan Malaysia perlu terus menguatkuasakan langkah pencegahan lebih ketat dan kerajaan British bersedia bekerjasama dengan Malaysia dalam perkara itu.

“Kerajaan Malaysia sudah memberikan maklum balas konstruktif dan mengambil komitmen serius untuk menangani isu ini. Tetapi kami berharap kerjasama penguatkuasaan antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan lagi,” katanya pada kempen di sini untuk mencegah rakyat Malaysia daripada tinggal melebihi tempoh di UK. 

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil ialah dengan meningkatkan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan proses lebih ketat dalam menapis dan menghalang pelawat yang tidak sah.

Malaysia dan UK juga dijangka menandatangani memorandum persefahaman untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam isu imigresen antara kedua-dua negara.

McCleary berkata, tahun lepas sahaja menyaksikan penurunan ketara berbanding tahun sebelumnya di mana hanya 847 rakyat Malaysia dilarang memasuki UK di pelabuhan dan lapangan terbang.

“Ini adalah penurunan sebanyak 36 peratus daripada tahun 2007 dan 48 peratus berbanding pada 2006. Rakyat Malaysia yang ditahan kerana bekerja tanpa permit di UK juga menurun kepada purata 200 sebulan berbanding hampir 300 sebulan pada 2006,” katanya.

Kempen anjuran Border Agency (UKBA), yang mengawal sempadan di UK dan imgresen di UK, menonjolkan tindakan tegas yang akan diambil terhadap mereka yang tinggal melebihi tempoh dan pendatang tanpa asing di UK, termasuk penalti, penghantaran pulang, penjara dan dilarang daripada memasuki semula UK.

Kempen itu diadakan selepas Malaysia lulus Ujian Pengecualian Visa dalam semakan oleh kerajaan British tahun lepas yang melibatkan 11 negara bukan Eropah. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212090239/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...